YANGON: Sekitar 530 pelarian Rohingya dipercayai hilang di laut selepas dua bot yang membawa mereka dari negeri Rakhine, Myanmar tidak lagi dikesan sejak 29 Jun lalu.
Kedua-dua bot berkenaan dikhuatiri karam selepas berdepan keadaan laut bergelora susulan bermulanya musim monsun.
Bot yang digunakan biasanya merupakan bot nelayan lama yang diubah suai untuk membawa seramai mungkin penumpang, namun keadaannya tidak sesuai untuk pelayaran jauh selain sering mengalami masalah enjin.
Peluang untuk menemui mangsa terselamat juga dipercayai amat tipis. Separuh daripada mereka mungkin terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.
Namun, punca sebenar kejadian itu mungkin tidak akan diketahui dengan pasti.
Pengasas Arakan Project, Chris Lewa yang memperjuangkan nasib masyarakat Rohingya, sedang berusaha mengumpulkan maklumat bagi mengetahui apa yang mungkin berlaku kepada kedua-dua bot berkenaan.
Namun usaha itu amat mencabar kerana tidak sesiapa yang boleh dihubungi di Sittwe atau di Sin Tet Maw, sebuah kampung yang dikawal Tentera Arakan dan menjadi lokasi keberangkatan bot terbabit.
Melalui gabungan maklumat daripada beberapa sumber lain, Lewa yakin kedua-dua bot itu memang berlepas pada 29 Jun, satu pada waktu pagi dan satu lagi lewat pada hari yang sama.
Menurutnya, bot-bot itu dipercayai menuju ke pantai selatan Myanmar sebelum menurunkan penumpang.
“Dari situ, mereka dibawa melalui jalan darat menggunakan laluan sukar, termasuk kem transit di kawasan hutan, sebelum merentasi Thailand menuju ke sempadan Malaysia.
“Kebiasaannya, keluarga mereka menjangka menerima berita dalam tempoh seminggu atau 10 hari selepas keberangkatan. Namun selepas hampir tiga minggu, tiada sebarang maklumat diterima,” katanya kepada BBC.
Pihak berkuasa Bangladesh menemui mayat seorang wanita yang terdampar di pantai selepas dipercayai hanyut dari laut.
Selain itu, nelayan yang menjalankan aktiviti di perairan antara delta Irrawaddy dan pantai negeri Mon turut menemui beberapa mayat lain sembilan hari kemudian.
Lewa percaya penemuan itu menunjukkan kedua-dua bot berkenaan kemungkinan besar karam, satu beberapa jam selepas meninggalkan Sin Tet Maw, manakala satu lagi selepas beberapa hari belayar ke arah tenggara.
Kini, lebih sejuta pelarian Rohingya tinggal dalam kem yang sesak di selatan Bangladesh.
Bantuan kemanusiaan semakin berkurangan, peluang pekerjaan hampir tiada, manakala kumpulan jenayah terancang dilaporkan bebas beroperasi di kawasan kem.
Mereka juga tidak dibenarkan meninggalkan kawasan penempatan tersebut.
Lewa percaya sekurang-kurangnya 10,000 orang Rohingya telah meninggalkan Myanmar dan Bangladesh menggunakan bot sejak September tahun lalu.
Jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya, didorong oleh keadaan kehidupan yang semakin tidak tertanggung yang mereka hadapi di Rakhine serta Bangladesh.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini menggesa laluan yang lebih selamat diwujudkan bagi membolehkan masyarakat Rohingya meninggalkan kawasan berkenaan.
Namun, tiada negara di rantau ini bersedia menerima mereka, dan setakat ini belum ada mana-mana kerajaan yang sanggup memudahkan perjalanan mereka ke tempat yang lebih selamat.










