KUMAMOTO: Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh dalam gempa bumi kuat yang memusnahkan sebuah pusat beli-belah dan kilang di Jepun, ketika pasukan penyelamat bertungkus-lumus mencari mangsa yang dikhuatiri masih terperangkap di bawah runtuhan.
Gempa bumi bermagnitud 7.1 itu melanda Wilayah Kumamoto di Pulau Kyushu, barat daya Jepun pada petang Selasa mengakibatkan kerosakan meluas, mencetuskan kebakaran serta menyebabkan puluhan ribu kediaman terputus bekalan elektrik.
“Seramai 13 orang disahkan maut. Kerosakan besar disahkan termasuk kematian, bangunan runtuh, kebakaran dan kerosakan jalan raya,” kata Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi sehari selepas gegaran yang direkodkan pada tahap tertinggi dalam skala intensiti seismik Shindo Jepun.
Mangsa yang terkorban di Pulau Kyushu termasuk dua wanita di pusat beli-belah dan tiga lagi di lokasi lain, menurut Agensi Pengurusan Bomba dan Bencana kepada AFP sebelum ini. Tujuh lagi mangsa cedera parah.
Pusat beli-belah di bandar Kashima dipercayai mengalami letupan gas yang memusnahkan sebahagian besar bangunan itu, menyebabkan siling dan dinding runtuh.
Letupan berlaku selepas semua pelanggan dan kakitangan berjaya dipindahkan, kata jurucakap pengendali pusat beli-belah Aeon.
Lapan orang berjaya diselamatkan dari pusat beli-belah itu, lima daripadanya mengalami kecederaan, kata seorang pegawai tempatan kepada AFP.
Laporan awal menyebut antara 20 hingga 30 orang terperangkap di dalam bangunan, namun penyiar NHK memetik polis melaporkan jumlah sebenar mungkin lebih rendah.
Polis turut memaklumkan setakat ini tiada laluan selamat untuk memasuki bangunan itu, menyebabkan operasi mencari di dalam premis masih belum dapat dijalankan.
Seramai 9,186 orang dipindahkan ke 506 pusat pemindahan yang dibuka di lima wilayah, termasuk Kumamoto dan Fukuoka.
Di kilang Nippon Paper Industries di Yatsushiro yang turut mengalami kerosakan termasuk cerobong yang runtuh sebahagiannya, dengan sembilan individu masih belum dapat dikesan.
Di seluruh Kumamoto, yang pernah dilanda dua gempa bumi berturut-turut pada 2016 sehingga mengorbankan 273 nyawa, sebanyak 36,880 kediaman dan premis masih terputus bekalan elektrik pada pagi Rabu, menurut pihak berkuasa.
Rakaman video juga menunjukkan sebahagian dinding Istana Kumamoto yang berusia ratusan tahun runtuh.
Banyak jalan raya ditutup, manakala perkhidmatan kereta api laju Shinkansen di kawasan terbabit digantung. Lapangan Terbang Kumamoto turut ditutup selama beberapa jam sebelum dibuka semula pada malam Selasa.
Tentera Jepun menggerakkan 3,600 anggota untuk operasi bantuan bencana serta menghantar 20 pesawat bagi menilai kerosakan dari udara.-AFP










