Konflik perang Iran merebak selepas Houthi serang kapal di Laut Merah - Utusan Malaysia

Konflik perang Iran merebak selepas Houthi serang kapal di Laut Merah

KUMPULAN Houthi mendakwa menyerang kapal Arab Saudi yang belayar melalui Laut Merah pada hari Amerika Syarikat menyerang Iran. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANAA/MANILA/TEHERAN: Kum­pulan Houthi di Yemen pa­da Rabu mendakwa menye­rang dua kapal tangki minyak Arab Saudi di Laut Merah ketika Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan malam ke-12 berturut-turut terhadap Iran.

Media kerajaan Iran mela­porkan dua orang terbunuh dalam serangan AS pada Rabu, manakala sebuah kapal tangki minyak terbakar selepas letupan di laluan yang dipenuhi periuk api di Selat Hormuz.

Sebuah kapal tangki berdaftar di Arab Saudi, Encelia terbakar selepas terkena satu objek peluru yang tidak dikenal pasti di Laut Merah selepas berlepas dari Yanbu pada 20 Julai.

Menurut Operasi Perdaga­ngan Maritim United Kingdom (UKMTO), kapal tangki itu berada kira-kira 70 batu nautika di barat daya Al Shuqaiq di Laut Merah apabila nakhodanya me­laporkan ia terkena objek peluru yang tidak dikenal pasti.

Menurut firma keselamatan maritim Vanguard Tech, kapal itu terkena serangan di bahagian sebelah kanan kapal. Tiada kemalangan jiwa atau pencemaran alam sekitar dilaporkan.

Kumpulan Houthi mengaku ber­tanggungjawab dengan men­dakwa pasukannya menyasarkan dua kapal tangki Arab Saudi kerana melanggar sekatan yang dikenakan ke atas pelabuhan-pelabuhan negara beraja tersebut.

Houthi turut mendakwa te­lah menyerang kapal tangki minyak mentah bersaiz sangat besar (VLCC) milik Bahri, Layla dan mendakwa kebakaran turut berlaku di atas kapal tersebut.

Bagaimanapun, dakwaan se­rangan itu masih belum dapat disahkan secara bebas.

Pada Isnin, Houthi mengumumkan sekatan ke atas pe­labuhan-pelabuhan Arab Saudi, manakala Pusat Penyelarasan Operasi Kemanusiaan (HOCC) kumpulan itu menghantar e-mel kepada syarikat-syarikat per­kapalan pada 20 Julai memaklumkan bahawa kapal-kapal dilarang memuat atau memunggah kargo di pelabuhan negara beraja tersebut.

Houthi berkata sekatan itu dibuat sebagai tindak balas ter­hadap serangan Arab Saudi yang menyasarkan Lapangan Ter­bang Antarabangsa Sanaa dan konflik berlarutan selama 12 tahun antara kedua-dua pihak.

Namun, Kerajaan Yemen yang disokong Arab Saudi dan berpangkalan di Aden berkata, ia melancarkan serangan pada 13 Julai bagi menghalang sebuah pesawat Iran daripada mendarat di Sanaa.

Serangan itu berlaku selepas mereka gagal meyakinkan delegasi Houthi yang berkunjung ke Teheran bagi menghadiri upacara pengebumian Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei supaya pulang menaiki penerbangan syarikat penerbangan domestik Yemenia.

Dalam pada itu, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio pada Khamis berkata, Houthi telah dipergunakan oleh Iran sehingga menyerang kapal-kapal yang melalui Laut Merah.

“Houthi pada umumnya ber­tindak bijak dan tidak terlibat dalam konflik ini sepanjang tempoh perang, tetapi kini mereka nampaknya telah dipergunakan untuk menyertainya dengan menyerang Arab Saudi dan kapal-kapalnya,” kata Rubio di luar Sidang Kemuncak Asia Tenggara di Manila.

“Saya berharap mereka akan meredakan ketegangan kerana, pada pandangan saya, Houthi terus terang telah diperdaya oleh Iran,” katanya kepada war­tawan.

Perang Iran bermula pada 28 Februari apabila AS bersama Israel menyerang Teheran sebelum gencatan senjata bermula pada April tetapi kemudian mus­nah.

Sementara itu, Markas Pusat Tentera AS (CENTCOM) memaklumkan ia melancarkan sera­ngan atas arahan Presiden Donald Trump bagi mengurangkan lagi keupayaan Iran mengancam pelaut awam dan kapal dagang yang melalui perairan serantau.

Menurut CENTCOM, sera­ngan itu menyasarkan sasaran ketenteraan Iran termasuk aset maritim, kemudahan simpanan peluru berpandu dan dron, lokasi pemantauan pantai serta aset pertahanan udara.

Tidak lama kemudian, Kuwait dan Jordan melaporkan bertindak balas terhadap ancaman udara dengan memintas peluru berpandu serta dron Iran.  Ia berlaku sebelum tentera Iran mengumumkan mereka menyasarkan aset AS di ketiga-tiga negara itu, menurut AFP.

Media kerajaan Iran melaporkan dua orang terbunuh dalam serangan AS di selatan negara itu berhampiran sempadan Iraq.  – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN