BANGKOK: Mangsa penipuan dalam talian rentas sempadan di Asia Timur, Asia Tenggara, Australia dan New Zealand dilaporkan mengalami kerugian sehingga AS$114.1 bilion (RM466.3 bilion) tahun lalu, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa.
Anggaran kerugian berkenaan mencatatkan peningkatan sekurang-kurangnya tiga kali ganda berbanding paras yang direkodkan pada 2023.
Rantau Asia Tenggara terutamanya Kemboja dan Myanmar, kini muncul sebagai pusat serantau bagi sindiket jenayah yang menjalankan skim pelaburan mata wang kripto serta percintaan palsu.
Dalam operasi penipuan tersebut, sebahagian penipu bertindak secara sukarela manakala sebahagian lagi merupakan mangsa pemerdagangan manusia yang dipaksa memperdaya pengguna internet di seluruh dunia dari premis kubu kuat yang dikawal ketat.
Bagaimanapun, di bawah tekanan pelbagai pihak termasuk Amerika Syarikat (AS), Britain dan China, pihak berkuasa tempatan di rantau ini menyatakan komitmen bahawa mereka kini sedang mempergiat tindakan tegas bagi membanteras industri haram berkenaan.
Beberapa dalang utama rangkaian penipuan dalam talian telah diekstradisi dari Kemboja ke China sejak tahun lalu, berikutan tindakan Washington dan London mengenakan sekatan ke atas syarikat serta individu yang dituduh mengendalikan jenayah siber berskala besar berasaskan pemerdagangan manusia.
Berdasarkan laporan terbaharu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), aktiviti penipuan dalam talian yang sebahagian besarnya membabitkan penipuan pelaburan di rantau berkenaan dianggarkan telah mengakibatkan kerugian antara AS$88.3 bilion (RM360 bilion) hingga AS$114.1 bilion (RM466.3 bilion) sepanjang tahun lalu.
Jumlah kerugian terkumpul itu jauh mengatasi anggaran AS$18 bilion (RM73.5 bilion) hingga AS$37 bilion (RM151.2 bilion) yang direkodkan pada 2023, sekali gus mencerminkan peningkatan drastik dalam skala ekonomi jenayah ini, menurut laporan itu lagi.
Tambah UNODC, dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, China, Korea Selatan dan Taiwan mencatatkan nilai kerugian tertinggi akibat aktiviti penipuan di rantau ini, di mana setiap daripadanya mengalami kerugian bernilai berbilion-bilion dolar.
Industri penipuan siber berkembang pesat di Asia Tenggara sejak beberapa tahun ke belakangan ini. Kumpulan jenayah terancang yang pada awalnya menyasarkan penutur bahasa Mandarin kini telah memperluas jangkauan mereka kepada mangsa di peringkat global.
Ekosistem jenayah serantau Asia Tenggara yang lebih luas meliputi perdagangan dadah haram, penipuan dalam talian, pemerdagangan manusia, perbankan haram dan pelaburan hartanah turut mengalami transformasi sepanjang dekad lalu.
Menurut UNODC, kumpulan jenayah terancang kini beralih daripada sistem terpisah berteraskan sindiket tempatan kepada ekonomi jenayah yang semakin bersepadu, rentas sempadan serta berteknologi canggih. -AFP










