MADRID: Kebakaran hutan yang melanda kawasan kira-kira 100 kilometer di utara Madrid semakin merebak, memusnahkan lebih 12,000 hektar kawasan dan memaksa ratusan penduduk dipindahkan, menurut pihak berkuasa tempatan pada Ahad.
Menurut Presiden wilayah, Emiliano Garcia-Page serta pihak berkuasa tempatan menerusi platform X, kebakaran yang bermula pada Khamis di wilayah Guadalajara yang merangkumi Taman Semula Jadi Sierra Norte itu setakat ini tidak menyebabkan sebarang kematian, namun sangat sukar dikawal.
Api merebak di kawasan pergunungan yang diliputi hutan dan menjadi habitat kepada spesies terancam termasuk helang, serigala serta pelbagai jenis rama-rama.
“Insiden itu berlaku selepas kebakaran besar yang tercetus pada Rabu berhampiran Zaragoza di timur laut Sepanyol, yang telah memusnahkan hampir 16,000 hektar kawasan masih lagi sukar dikawal,” menurut kemas kini kerajaan wilayah Aragon pada Sabtu malam.
Tiada kematian dilaporkan dalam kebakaran berkenaan.
Awal bulan ini, Sepanyol menyaksikan antara kebakaran hutan paling dahsyat dalam sejarah moden apabila kebakaran di wilayah selatan Almeria meragut 13 nyawa dan memusnahkan 7,000 hektar kawasan.
Sepanyol kini berada di barisan hadapan kesan perubahan iklim dan mengalami gelombang haba yang semakin panjang serta kerap dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan suhu melebihi 40 darjah Celsius yang meningkatkan risiko kebakaran hutan.
Pakar sains berkata, perubahan iklim akibat aktiviti manusia meningkatkan tempoh, intensiti dan kekerapan gelombang haba, sekali gus mengeringkan tumbuh-tumbuhan serta meningkatkan risiko kebakaran hutan.-AFP










