LONDON: Sebuah kapal perang Russia yang diekori rapat oleh kapal Tentera Laut Diraja Britain dilaporkan telah menjalankan latihan artileri tembakan meriam secara langsung di lokasi yang hanya terletak 40 batu nautika di selatan Plymouth pada Isnin.
Menurut jurucakap Kementerian Pertahanan (MoD), Pihak Royal Navy memantau rapi latihan berkenaan dan akan terus menjejaki setiap aktiviti kapal tersebut secara berterusan.
Kapal frigat Russia bernama Neustrashimy itu turut dipantau oleh pesawat tentera Perancis yang membuat perhubungan radio dengan kapal berkenaan bagi mendapatkan kepastian mengenai niat dan tujuan laluannya.
Sebelum memulakan tembakan, kapal perang Russia tersebut dilaporkan telah memaklumkan kepada kapal ronda luar pantai Royal Navy, HMS Tyne berhubung hasratnya untuk menjalankan aktiviti tembakan artileri.
Kapal perang Russia itu meminta HMS Tyne berpindah ke kedudukan yang lebih selamat di mana permintaan tersebut dituruti oleh kapal Britain berkenaan.
Latihan tembakan secara langsung itu dijalankan di kawasan perairan antarabangsa dan berlangsung selama 30 minit.
Insiden ini sekali lagi memberi peringatan kepada Perdana Menteri baharu, Andy Burnham mengenai peningkatan aktiviti tentera laut Russia di berhampiran perairan Britain sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Pihak sumber pertahanan Britain bagaimanapun enggan mengulas sama ada masa insiden ini sengaja dipilih bersempena permulaan kepimpinan Burnham sebagai Perdana Menteri.
Bulan lalu, Pasukan Komando Marin Diraja Britain telah menaiki sebuah kapal tangki minyak armada bayangan milik Russia di Selat Inggeris dalam satu operasi selama enam jam yang merupakan operasi pertama seumpamanya yang dijalankan oleh angkatan tentera Britain.
Turut berlaku pada bulan Jun, sepasang suami isteri warga Britain yang berlayar di perairan antarabangsa Selat Inggeris terserempak dengan kapal perang Russia, Admiral Grigorovich kira-kira 37 kilometer di luar pantai Isle of Wight.
Sebelum ini, kapal-kapal perang Russia sememangnya kerap melintasi kawasan perairan antarabangsa di Selat Inggeris yang terletak di luar kawasan perairan wilayah rasmi Britain dan Perancis. -AGENSI










