BEIRUT: Tentera Israel meneruskan serangan ke atas beberapa kawasan di selatan Lubnan pada Sabtu menerusi serangan udara, bedilan artileri, letupan, bom bunyi dan operasi menebang pokok yang mengakibatkan kecederaan, menurut Agensi Berita Nasional (NNA) Lubnan.
Serangan ke atas Lubnan dilancarkan meskipun kedua-dua pihak menandatangani perjanjian rangka kerja yang ditaja Amerika Syarikat (AS) pada 26 Jun.
Perjanjian itu memperuntukkan pengunduran berperingkat tentera Israel dari wilayah Lubnan, bermula dengan dua kawasan perintis.
Serangan itu juga berlaku selepas rundingan di Rom yang membincangkan permulaan pengunduran tentera Israel dari dua kawasan di selatan Lubnan.
Israel masih menduduki beberapa kawasan di selatan Lubnan, sebahagiannya dikuasai sejak beberapa dekad lalu. Namun, beberapa kawasan Lubnan dirampas ketika perang 2023-2024. Israel mula menyerang Lubnan pada Mac lalu selepas Hizbullah melakukan serangan bagi menuntut bela kematian Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dalam perang Asia Barat.
Dalam serangan terbaharu itu, tentera Israel membedil pekan Haris di daerah Bint Jbeil, wilayah Nabatieh, menyebabkan beberapa individu cedera. Namun, jumlah mangsa tidak didedahkan.
Tentera Israel turut menebang semua pokok yang ditanam di sepanjang jalan di bandar Bint Jbeil, di daerah sama, menurut NNA.
Di daerah Tyre, wilayah Selatan, tentera Israel melepaskan beberapa peluru berpandu awal ke kawasan kejiranan di pekan Mansouri, berhampiran ladang Bayt al-Sayyad.
Sebuah dron Israel turut menggugurkan dua bom di kawasan al-Mashaa, antara pekan Majdal Zoun dan Mansouri, manakala pesawat pejuang Israel melancarkan serangan udara di kawasan sama.
Di daerah Nabatieh pula, tentera Israel melakukan satu letupan besar di pinggir pekan Zawtar al-Sharqiya.
Sebuah dron Israel turut menyerang pekan Nabatieh al-Fawqa, manakala pesawat pejuangnya mengebom pekan Kfar Tibnit di daerah sama lewat Jumaat.
Tentera Israel mendakwa serangan itu menyasarkan satu kumpulan pengendali dron Hizbullah di selatan Lubnan, tetapi ia tidak mendedahkan lokasi serangan.
Menurut tentera Israel, tindakan itu diambil selepas pihaknya mengesan sebuah dron yang didakwa dilancarkan berhampiran kedudukan tenteranya.
Tentera udara Israel turut mendakwa melaksanakan serangan pantas terhadap anggota Hizbullah bagi menghapuskan ancaman yang didakwa ditimbulkan terhadap pasukan mereka. – AGENSI










