Iran tuntut dana AS$6 bilion dibekukan di Qatar - Utusan Malaysia

Iran tuntut dana AS$6 bilion dibekukan di Qatar

MASOUD PEZESHKIAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, menuntut AS$6 bilion (RM24 bilion) dana Iran yang disimpan di Qatar dan dikembalikan ke negara itu di bawah satu perjanjian dengan Amerika Syarikat (AS).

Pezeshkian berkata, AS$6 bilion daripada keseluruhan AS$12 bilion (RM48.8 bilion) dana Iran di Qatar sepatutnya tidak lagi dibekukan dan dikembalikan semula ke Teheran selain memaklumkan proses susulan bagi mendapatkannya masih diteruskan.

Beliau turut menyifatkan memorandum persefahaman yang baharu ditandatangani de­ngan AS sebagai satu kemenangan besar bagi rakyat Iran.

Menurutnya, sekatan ke atas sektor minyak dan pe­trokimia ditarik balik seperti yang dipersetujui dalam perjanjian tersebut.

Presiden Iran itu turut menegaskan semula pendirian lama Teheran mengenai aktiviti nuklearnya dengan me­nyatakan bahawa Pemimpin Tertinggi Iran yang meninggal dunia, Ayatollah Ali Khamenei sebelum ini berkata, Teheran tidak berhasrat untuk membina senjata nuklear.

Pezeshkian juga berkata, Iran kini kekal dengan pendirian yang sama.

“Kami memberi jaminan kepada masyarakat antarabangsa bahawa aktiviti ini akan digunakan mengikut ke­perluan negara dan dalam kerangka dasar yang telah kami umumkan,” katanya.

Iran dan Washington mencapai satu memorandum persefahaman pada 18 Jun yang merangkumi peruntukan untuk menamatkan permusuhan selepas perang dimulakan pada 28 Februari oleh AS bersama Israel.

Dalam memorandum itu, Washington bertindak menarik balik sekatan laut AS ke atas pelabuhan Iran dan membuka semula Selat Hormuz yang strategik bagi bekalan tenaga global.

Sementara itu, Iran berkata, satu delegasi pakar akan berkunjung ke Doha, Qatar bagi mengadakan perbincangan mengenai pelaksanaan me­morandum persefahaman yang ditandatangani awal bulan lalu.

“Kami masih belum memasuki peringkat rundingan bagi mencapai perjanjian muktamad,” kata jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei.

Beliau menyatakan dalam tempoh beberapa hari akan datang, Iran tidak akan me­ngadakan sebarang mesyuarat rundingan dengan pihak Amerika di mana-mana pe­ringkat. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN