Iran guna gencatan senjata untuk tingkat kekuatan tempur - Utusan Malaysia

Iran guna gencatan senjata untuk tingkat kekuatan tempur

RATUSAN ribu rakyat Iran menghadiri perarakan pengebumian Ayatollah Ali Khamenei dan anggota keluarganya di Teheran .- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Tentera Iran memaklumkan tempoh gencatan senjata sedang dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan keupayaan tempur angkatan bersenjata negara itu dan memberi amaran bahawa sebarang kesilapan’oleh musuh akan dibalas dengan tindakan yang menghancurkan musuh.

Jurucakap Tentera Darat Iran, Brigedier Jeneral Mohammad Akraminia berkata, Iran menggunakan tempoh gencatan senjata itu untuk memperkukuh kekuatan tenteranya.

“Kami tidak akan mensia-siakan walau sesaat atau mengabaikan perkara ini. Jika musuh me­lakukan kesilapan, mereka pasti akan berdepan tindak balas yang menghancurkan dan tegas daripada angkatan bersenjata Iran,” katanya.

Gencatan senjata AS-Iran mula berkuat kuasa pada 8 April, selepas dimeterai melalui pengantaraan Pakistan. Ia berlangsung selama dua minggu sebelum disambung semula oleh Presiden AS, Donald Trump tanpa had masa bagi membolehkan Iran tunduk kepada desakan Washington.

Rundingan pertama kemudian berlangsung di Islamabad tetapi ia tidak memuaskan Trump yang mengancam untuk menyerang negara itu jika Iran gagal mencapai satu perjanjian.

Ketika ia dikuatkuasakan, berlaku beberapa serangan melibatkan AS dan Iran tetapi ia tidak menyebabkan gencatan senjata itu musnah.

Satu memorandum persefahaman kemudian ditandatangani secara maya oleh kedua-dua pihak pada 18 Jun sebelum run­dingan lanjut  antara Teheran dan Washington diadakan di Switzerland pada 20 Jun. 

Memorandum berkenaan, yang diusahakan melalui penganta­raan di Islamabad menggariskan rangka kerja pelaksanaan secara berperingkat bagi menamatkan permusuhan, memulihkan keselamatan maritim di Selat Hormuz dan menghentikan operasi ketenteraan di beberapa medan konflik, termasuk di Lubnan.

Rundingan susulan di Switzerland diadakan pada 20 Jun itu membincangkan pelaksanaan memorandum tersebut dan awal bulan ini wakil kedua-dua negara memulakan perbincangan mengenai isu yang masih belum dipersetujui.

Sementara itu, Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf yang mengetuai run­dingan dengan AS berkata, pelaksanaan memorandum persefahaman dengan Washington adalah sukar tetapi boleh dilakukan, sambil menegaskan usaha diplomasi harus mengekalkan pencapaian yang diraih di medan perang.

Ghalibaf berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan Ketua Majlis Kepimpinan Hamas, Mohammed Darwish di luar acara penghormatan terakhir kepada Pemimpin Tertinggi Iran yang terbunuh, Ayatollah Ali Khamenei di Teheran semasa AS-Israel melakukan serangan pada 28 Februari lalu.

Beliau berkata, usaha diplo­masi dan rundingan juga seha­rusnya mampu menyelesaikan kebuntuan ketenteraan melibatkan negaranya dan AS. 

“Perkara itu hanya boleh dicapai apabila negara kekal bersiap siaga sepenuhnya dari segi pertahanan seiring dengan usaha diplomasi,” katanya.

Merujuk kepada memorandum persefahaman dengan Washington, Ghalibaf berkata, rundingan tergantung pada malam Israel melancarkan serangan ke atas kawasan pinggir selatan Dahiyeh di Beirut.

Menurut beliau, Teheran me­­­ne­gaskan kepada pihak AS, pemeliharaan kedaulatan wilayah negara-negara di rantau Asia Barat dan penamatan peperangan terhadap sekutu-sekutu serantau perlu dimasukkan sebagai sebahagian daripada perjanjian tersebut.

“Klausa itu telah dimasukkan ke dalam teks perjanjian. Hari ini, memorandum itu sedang dilaksanakan. Pelaksanaannya sukar tetapi boleh dilakukan,” katanya.

Dalam pada  itu, upacara pen­gebumian besar-besaran Khamenei diteruskan di Teheran pada Isnin dengan sebuah kenderaan jenazah yang membawa beberapa keranda ahli keluarganya melalui lautan manusia yang hadir memberikan penghormatan terakhir di jalan-jalan utama di pusat bandar Teheran.

Suasana turut bergema dengan laungan pelbagai slogan, termasuk seruan ‘maut kepada Amerika, maut kepada Israel’ yang dilaungkan berulang kali.

Rakaman Reuters turut me­nunjukkan beberapa individu membakar bendera United Kingdom (UK) dan AS, manakala yang lain mengangkat sepanduk mengecam Trump.

Bagi mengurangkan bahang cuaca, pancuran air digunakan untuk menyejukkan mereka yang menyertai perarakan tersebut, kebanyakannya berpakaian hitam, ketika suhu di Teheran mencecah 37 darjah Celsius. 

Sehingga kini, anak lelaki Khamenei yang juga penggantinya, Mojtaba Khamenei, masih belum muncul di khalayak ramai sejak bapanya terbunuh.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN