PETALING JAYA: Semalam, genap 1,001 hari kira-kira 2.3 juta rakyat Palestin di Gaza hidup serba daif tanpa bantuan kemanusiaan sambil menahan kebuluran akibat ‘dipenjara’ oleh rejim Zionis sejak perang yang bermula 7 Oktober 2023.
Meskipun gencatan senjata sudah pun dimeterai pada 19 Januari lalu, namun rakyat Palestin di wilayah itu masih ditindas secara sistematik oleh tentera Zionis dengan menafikan hak-hak asasi manusia termasuklah rawatan kesihatan.
Terbaharu, 73,066 rakyat Palestin dilaporkan terkorban manakala lebih 9,500 lagi masih hilang dipercayai tertimbus di bawah runtuhan bangunan akibat bedilan bom, tembakan kereta kebal dan hujan peluru oleh tentera Israel sepanjang kempen ketenteraan terhadap wilayah tersebut.
Genosid itu mengakibatkan lebih 21,500 kanak-kanak dan 12,500 wanita tidak berdosa terkorban serta menjadi golongan korban terbesar manakala seramai 173,514 mangsa cedera sepanjang 1,001 hari.
Dilaporkan, kira-kira 223,000 tan bahan letupan digugurkan tentera Israel terhadap Gaza sepanjang tempoh peperangan dilancarkan mereka.
Keganasan rejim tanah haram itu juga mengakibatkan 90 peratus infrastruktur dan kemudahan di Gaza hancur termasuk 38 hospital serta fasiliti kesihatan di wilayah itu tidak lagi berupaya untuk meneruskan operasi.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Al-Quds Malaysia, Dr. Sharif Abu Shammala berkata, keluasan Gaza yang sebelum ini seluas 330 kilometer persegi juga semakin hari semakin mengecil akibat kerakusan Israel secara diam mengambil alih lebih 60 peratus tanah tersebut.
Lebih membimbangkan, katanya, kerajaan haram itu juga sedang merancang untuk meningkatkan kawalan sehingga 70 peratus daripada keluasan Gaza sekali gus meninggalkan 110 kilometer persegi sebagai penempatan 2.3 juta penduduk.
“Mereka dipindahkan secara paksaan ke 132,000 khemah yang kini sudah daif dan tidak lagi sesuai untuk didiami dengan pelbagai penyakit berjangkit dilaporkan menular di kalangan penduduk,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, pintu masuk ke Gaza juga ditutup rapat oleh rejim Zionis yang pada hari ini sudah pun mencecah 670 hari tiada bantuan kemanusiaan mahu pun bekalan makanan atau air bersih dibenarkan masuk ke sana.
“Akibatnya, 650,000 kanak-kanak berisiko meninggal dunia akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan. Mereka juga terpaksa minum air tidak bersih untuk menghilangkan dahaga bagi meneruskan kehidupan,” katanya.
Beliau juga berkata, setakat hari ini, sebanyak 410,000 bangunan dan unit kediaman dimusnahkan sepenuhnya atau rosak teruk sehingga tidak lagi boleh didiami.
Selain itu, lebih 5,000 kilometer rangkaian bekalan elektrik dimusnahkan malah sektor keterjaminan makanan juga terjejas teruk apabila 87 peratus tanah pertanian musnah.
“Secara keseluruhannya, kerugian langsung akibat jenayah perang yang disifatkan sebagai genosid dan pembersihan etnik itu dianggarkan melebihi AS$80 bilion. Sejarah selama 1,001 hari ini kekal menjadi titik hitam bagi rakyat Palestin,” katanya. – UTUSAN










