Ejen ICE dikecam tembak mati migran di Houston

Ejen ICE dikecam tembak mati migran di Houston

DUA wanita meletakkan lilin dan bunga berhampiran lokasi Lorenzo Salgado Araujo ditembak pegawai ICE ketika pemeriksaan kenderaan di Houston, Texas.-AGENSI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HOUSTON: Seorang ejen Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) menembak mati seorang penunggang motosikal di Houston ketika pegawai cuba menahan kenderaan lelaki berkenaan, sekali gus mencetus kontroversi terbaharu mengenai tindakan tegas terhadap pendatang.

Lelaki yang maut itu dikenal pasti sebagai Lorenzo Salgado Araujo. Pihak ICE menyifatkan mangsa sebagai warga Mexico dan pendatang tanpa izin yang cuba melarikan diri daripada ditahan semasa operasi penguatkuasaan bersasar oleh pegawai imigresen persekutuan.

Bagaimanapun, anak kepada mangsa, Ronaldo Salgado memberitahu stesen televisyen berbahasa Sepanyol, Telemundo Houston, bapanya ditembak ketika sedang mencari pekerja upahan di kawasan sekitar.

Mengikut versi kejadian oleh pihak ICE, Araujo didakwa merempuh kenderaan penguatkuasa ICE, enggan mematuhi pelbagai arahan lisan dan menggunakan motosikalnya sebagai senjata untuk merempuh pegawai penguatkuasa ICE.

Jelas ICE, tindakan itu mengakibatkan pegawai mereka melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri yang mengenai lelaki berkenaan. Mangsa kemudiannya dikejarkan ke hospital namun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialami.

Pertubuhan Hak Sivil Texas mengecam penggunaan kekerasan oleh ICE dan membangkitkan persoalan berhubung kenyataan agensi itu mengenai insiden tembakan berkenaan.

“Kami menuntut ketelusan sepenuhnya, siasatan bebas terhadap insiden tembakan itu dan sebarang penggunaan profil kaum yang mungkin membawa kepada kejadian berkenaan, serta pertanggungjawaban terhadap penggunaan kekerasan yang membawa maut. Kawasan kejiranan kami bukan medan perang,” kata Presiden pertubuhan itu, Rochelle Garza.

Seorang saksi yang melihat kejadian sejurus selepas insiden tembakan itu, Rhonda Smith, 51, yang tinggal di kawasan berkenaan turut meluahkan rasa marah dalam temu bual dengan Reuters.

“Lelaki itu bekerja keras. Kejarlah penjenayah atau perogol dan pembunuh. Mengapa mengejar seorang lelaki yang bekerja keras?” katanya.

Dalam beberapa kes sepanjang tahun lalu, kenyataan awal daripada ICE berhubung penggunaan kekerasan oleh mereka sering dicabar oleh rakaman video atau bukti lain, malah adakalanya diheret ke mahkamah.

Pada Oktober lalu, seorang wanita dari kawasan Chicago, Marimar Martinez dituduh merempuh pegawai penguatkuasa undang-undang dengan keretanya. Dia ditembak sebanyak lima kali namun terselamat.

Pertuduhan terhadapnya akhirnya digugurkan selepas bukti video menunjukkan ejen-ejen berkenaan berkemungkinan besar yang merempuh kenderaan wanita itu sendiri. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN