BOSTON: Syarikat e-dagang eBay dan tiga bekas eksekutif kanannya bersetuju membayar AS$55.7 juta (RM227.69 juta) bagi menyelesaikan saman difailkan oleh sepasang suami isteri dari Massachusetts yang menjadi mangsa kempen gangguan dan intipan aneh.
Ia termasuk dihantar lipas serta larva lalat, sebagai tindak balas terhadap laporan mereka mengenai syarikat itu.
Pasangan David dan Ina Steiner mengumumkan penyelesaian itu pada Isnin, sekali gus menamatkan kes difailkan di Mahkamah Persekutuan Boston pada 2021 selepas beberapa bekas kakitangan eBay didakwa kerana menyasarkan pasangan itu dalam kempen gangguan siber yang turut melibatkan penghantaran topeng babi Halloween berlumuran darah.
Malah, mereka turut melakukan pengawasan terhadap pasangan itu di Natick, Massachusetts dan cuba memasang peranti pengesan GPS pada kenderaan mereka.
Mengikut terma penyelesaian, eBay bersetuju membayar AS$46.15 juta (RM188.63 juta) kepada pasangan berkenaan, menyumbang AS$6 juta (RM24.52 juta) kepada pertubuhan bukan berasaskan keuntungan, selain mengeluarkan kenyataan keras mengenai tindakan tiga bekas eksekutif kanannya.
Peguam pasangan itu, Christopher Murphy berkata, penyelesaian berkenaan menghantar mesej jelas syarikat dan pegawai eksekutif tidak boleh melakukan salah laku sedemikian tanpa berdepan akibat yang serius.
Dalam satu kenyataan, eBay mengakui apa yang berlaku terhadap pasangan Steiner adalah salah, keji dan tidak sepatutnya berlaku.
“Kami terus menyampaikan permohonan maaf yang paling tulus kepada pasangan Steiner. Perjanjian ini selaras dengan komitmen kami untuk memberi pampasan yang adil kepada mereka serta memperbetulkan keadaan,” kata syarikat itu.
Pendakwa raya berkata, kempen itu bertujuan menutup mulut pasangan Steiner selepas pihak pengurusan kanan menganggap buletin yang mereka terbitkan, EcommerceBytes, terlalu kritikal terhadap eBay.
Tujuh bekas pekerja eBay sebelum ini mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman penjara sehingga 57 bulan kerana terbabit dalam komplot berkenaan.-AGENSI









