TORONTO: Dua orang terbunuh manakala sekurang-kurangnya empat lagi cedera parah dalam insiden tembakan di sebuah festival salsa yang dihadiri ribuan pengunjung di Toronto, menurut polis Kanada.
Siasatan awal mendapati berlaku kejadian berbalas tembakan antara dua individu, dengan polis merampas dua laras senjata api di lokasi kejadian.
Pihak berkuasa berkata, insiden yang dipercayai berpunca daripada perselisihan itu berpotensi mengancam keselamatan lebih 13,000 pengunjung yang menghadiri festival muzik Latin berkenaan.
“Terdapat dua lelaki disahkan meninggal dunia, manakala empat lagi dihantar ke hospital tempatan dalam keadaan cedera parah,” kata Timbalan Ketua Polis Toronto, Frank Barredo.
Pada awalnya, polis memaklumkan terdapat penembak aktif, namun Barredo kemudian menjelaskan keadaan itu tidak lagi dilihat sebagai kes penembak aktif.
Ketika ditanya mengenai pelaku, beliau tidak menolak kemungkinan lebih daripada dua individu terbabit dalam kejadian itu.
“Setakat ini tiada tangkapan dibuat,” katanya.
Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, berkata beliau terkejut dengan insiden tembakan yang mengorbankan dua nyawa di Festival Salsa on St. Clair di Toronto.
“Mereka yang kehilangan insan tersayang berada dalam doa saya,” katanya menerusi platform X.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada anggota polis dan pasukan penyelamat atas tindakan pantas mereka yang berjaya mengelakkan tragedi lebih buruk.
Datuk Bandar Toronto, Olivia Chow, pula menyifatkan insiden itu sebagai tindakan ganas yang amat mengganggu dan membangkitkan kemarahan, lebih-lebih lagi kerana ia berlaku di tengah-tengah festival yang dihadiri keluarga, kanak-kanak dan warga emas.
Seorang pengunjung festival, Jason Ferda, berkata pada mulanya beliau menyangka bunyi tembakan itu adalah bunga api.
“Saya ketakutan dan terus meninggalkan kawasan itu,” katanya kepada AFP.
Seorang lagi saksi memberitahu stesen penyiaran tempatan CTV News, orang ramai panik apabila insiden itu berlaku.
“Tiba-tiba semua orang berlari ke arah pentas. Semua orang tertanya-tanya apa yang berlaku, kemudian polis datang dan menghentikan muzik. Semuanya berlaku begitu pantas,” katanya.-AFP










