Datuk Bandar New York timbang tahan Netanyahu ketika hadiri persidangan PBB - Utusan Malaysia

Datuk Bandar New York timbang tahan Netanyahu ketika hadiri persidangan PBB

ZOHRAN MAMDANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani meneliti sama ada boleh mengarahkan penahanan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ketika pemimpin itu menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di bandar itu pada September nanti.

Dalam wawancara yang diterbitkan The New York Times pada Sabtu, Mamdani berkata, beliau percaya Netanyahu sepatutnya berada di The Hague, Belanda kerana beliau merupakan penjenayah perang yang telah didakwa oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Mamdani, seorang ahli politik berhaluan kiri yang sebelum ini menyifatkan Israel sebagai ‘rejim apartheid’, berkata pandangan itu dikongsi ramai pihak berdasarkan tindakan Netanyahu sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini.

Datuk Bandar itu bagaimanapun mengaku tidak pasti sama ada beliau mempunyai kuasa untuk mengarahkan Jabatan Polis New York (NYPD) menahan seorang pemimpin asing. Namun, perkara itu sedang dibincangkan bersama pasukan perundangan bandar raya itu.

“Apa sahaja yang dibenarkan undang-undang untuk saya lakukan di New York, itulah yang akan kami lakukan,” katanya.

UNGA yang menghimpunkan pemimpin dunia dijadual berlangsung pada September di ibu pejabat PBB di New York.

Sebelum ini, Mamdani pernah berikrar akan mengarahkan NYPD melaksanakan waran tangkap yang dikeluarkan ICC terhadap mana-mana pemim­pin dikehendaki, termasuk Netanyahu dan Presiden Russia, Vladimir Putin.

ICC yang berpangkalan di The Hague pada 2024 memutuskan terdapat alasan munasabah untuk mempercayai bahawa Ne­tanyahu bertanggungjawab atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan berkaitan serangan ketenteraan Israel di Gaza susulan serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.

Duta Israel ke PBB, Danny Danon segera mengecam kenya­taan Mamdani.

“Daripada memberi tum­puan kepada tanggungjawabnya sebagai datuk bandar dan menangani peningkatan sentimen anti-Yahudi di bandarnya, beliau memilih untuk mencetuskan permusuhan dan meraih perhatian dengan menyerang Israel,” katanya menerusi platform X.

Beliau menegaskan Netanyahu tetap akan hadir berucap dalam Perhimpunan Agung PBB  di New York dan mempertahankan hak Israel untuk melindungi rakyatnya.

Netanyahu sebelum ini turut menuduh Mamdani menyokong Hamas dan mendakwa dalam satu wawancara radio di New York kononnya beliau secara diam-diam membenci AS. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN