GAZA: Kanak-kanak berusia 8 tahun, Ruba Saadeh terpaksa menghabiskan hari-harinya terkurung di dalam khemah yang dikongsi bersama keluarganya di Gaza, dengan seluruh tubuh dipenuhi lepuh merah yang meradang ketika wabak cacar air menular di kem-kem pelarian penuh sesak tempat mereka berlindung.
Doktor dan keluarga yang dipindahkan di Gaza berkata, penyakit berjangkit itu meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini apabila perang memaksa ratusan ribu penduduk Palestin tinggal di kem khemah yang padat tanpa bekalan air bersih.
“Doktor memberitahu dia perlu dimandikan setiap hari dan diasingkan selama 20 hari.
“Tetapi bagaimana kami hendak mengasingkannya? Kami semua tinggal bersama dalam satu khemah yang sesak,” kata kakaknya, Alaa, 19, kepada AFP.
Pakar dermatologi Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin, Raed Abdel Karim Abu Sariya berkata, kekurangan ruang untuk mengasingkan pesakit menjadi antara faktor utama penularan penyakit itu.
“Pesakit cacar air perlu diasingkan kerana penyakit ini merebak melalui jangkitan saluran pernafasan.
“Namun, keadaan di kem-kem Gaza menyebabkan usaha mengasingkan pesakit hampir mustahil.
“Bayangkan 10, 15 malah 20 orang tinggal dalam sebuah khemah kecil. Di mana mereka hendak mengasingkan pesakit?” katanya sambil memeriksa seorang kanak-kanak yang dipenuhi lepuh merah pada bahagian perut.
Rakaman AFP di Gaza City menunjukkan takungan air yang keruh dan dipenuhi sampah mengelilingi penempatan sementara, manakala kanak-kanak berjalan berkaki ayam di celah deretan khemah.
Di luar sebuah pusat perubatan Bulan Sabit Merah Palestin, pesakit beratur mendapatkan rawatan ketika Raed Abdel Karim memeriksa seorang demi seorang kanak-kanak yang mengalami ruam penyakit itu.
Walaupun cacar air di negara maju lazimnya dianggap sebagai penyakit yang tidak serius dan mudah diuruskan dalam kalangan kanak-kanak, keadaan tidak bersih di kem-kem Gaza menjadikan usaha mencegah penularan serta mengurangkan simptom penyakit itu jauh lebih sukar.
Jurucakap Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Louise Wateridge berkata, pihak berkuasa kesihatan merekodkan lebih 9,300 kes disyaki cacar air di seluruh Gaza pada awal Julai, dengan kebanyakannya tertumpu di Khan Younis di selatan wilayah itu.
“Itulah kawasan paling padat penduduk di Semenanjung Gaza. Keluarga-keluarga berlindung hampir bertindih antara satu sama lain.
“Cacar air hanyalah sebahagian daripada masalah. Terdapat juga jangkitan saluran pernafasan, cirit-birit berair, dan kini lebih separuh isi rumah melaporkan penyakit kulit, kutu, hama serta kudis.
“Semakin ramai kanak-kanak memerlukan rawatan di hospital, sedangkan sistem kesihatan Gaza berada di ambang keruntuhan,” katanya.
Pertubuhan bantuan antarabangsa berulang kali memberi amaran bekalan perubatan masih jauh daripada mencukupi, malah langkah pencegahan asas juga kini menjadi suatu kemewahan.
“Apabila kita bercakap mengenai cacar air atau penyakit lain, ia tidak akan berakhir selagi punca sebenar masalah ini tidak diselesaikan.
“Penduduk mesti mempunyai ruang untuk hidup dan tidak lagi terpaksa tidur di atas lantai atau hidup bersama tikus,” kata Wateridge sambil menggesa lebih banyak ubat dibenarkan memasuki Gaza.










