AS serang infrastruktur Iran pada malam ke-13 - Utusan Malaysia

AS serang infrastruktur Iran pada malam ke-13

SEBUAH jambatan mengalami kerosakan teruk akibat serangan Amerika Syarikat kelihatan di selatan Iran. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) pada Rabu memaklumkan bahawa mereka telah melancarkan satu lagi gelombang serangan yang menyasarkan infrastruktur ketenteraan Iran, sekali gus menandakan malam ke-12 berturut-turut serangan AS ke atas negara itu.

“Pada pukul 5.30 petang waktu Timur (AS) hari ini, tentera Amerika mula melancarkan lebih banyak serangan terhadap sasaran ketenteraan Iran atas arahan Panglima Tertinggi. Misi ini akan diteruskan bagi terus mengurangkan keupayaan Iran untuk mengancam pelaut awam dan kapal perdagangan yang melalui perairan serantau,” menurut Markas Pusat Tentera Amerika Syarikat (CENTCOM).

Sebelum itu, Presiden AS, Donald Trump berikrar akan mengebom infrastruktur awam Iran setiap kali Teheran melepaskan tembakan ke arah kapal di Selat Hormuz.

Janji itu dibuat  sebelum beliau menghadiri istiadat penghormatan bagi menyambut kepulangan jenazah empat lagi anggota tentera AS yang terbunuh dalam peperangan.

“Mulai saat ini, setiap kali Republik Islam Iran melepaskan tembakan ke arah kapal di Selat Hormuz, sama ada menggunakan peluru berpandu, roket, dron atau apa jua peranti atau senjata lain, Amerika  akan mengebom dan memusnahkan satu jambatan atau loji janakuasa,” tulisnya di platform Truth Social.

Trump berkata, tindakan itu turut melibatkan kemudahan Iran yang terletak bersebelahan atau di dalam ibu negara, Teheran.

Tidak lama selepas memuat naik kenyataan itu, Trump berlepas ke sebuah pangkalan udara untuk menghadiri istiadat rasmi menyambut kepulangan jenazah tiga anggota tentera AS yang terbunuh dalam serangan Iran ke atas sebuah pangkalan tentera di Jordan.

Seorang lagi yang maut ketika operasi letupan terkawal terhadap sebuah dron Iran yang gagal meletup di Iraq.

Ia merupakan istiadat penghormatan rasmi ketiga yang dihadiri Trump sejak melancarkan perang bersama Israel terhadap Iran pada Februari lalu.

Setakat ini, perang itu telah mengorbankan 18 anggota tentera AS. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN