WASHINGTON: Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) menasihatkan rakyatnya di seluruh dunia supaya meningkatkan tahap berjaga-jaga berikutan ketegangan yang semakin meningkat di Asia Barat serta risiko konflik berlarutan.
Rakyat AS yang kini berada di Asia Barat khususnya diminta mengambil langkah berjaga-jaga dan meningkatkan kewaspadaan selain bersedia menghadapi kemungkinan pembatalan penerbangan, penutupan ruang udara secara berkala serta gangguan perjalanan.
Jabatan itu turut menggesa rakyat AS yang berada di luar rantau berkenaan supaya mempertimbangkan semula perjalanan ke atau melalui Asia Barat.
Ia memberi amaran Iran serta kumpulan yang menyokong Teheran berpotensi menyasarkan kepentingan AS, kemudahan diplomatik atau lokasi yang mempunyai kaitan dengan rakyat AS di luar negara.










