AS dilanda wabak jangkitan usus misteri

AS dilanda wabak jangkitan usus misteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) memaklumkan pihaknya sedang menyiasat pelbagai produk hasil tani, termasuk sayur salad dalam usaha mengenal pasti punca penularan wabak cyclosporiasis yang luar biasa besar di Amerika Syarikat (AS), ketika jumlah kes membabitkan manusia terus meningkat.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), tiada kes kematian dilaporkan setakat ini, namun seramai 141 orang telah dimasukkan ke hospital, manakala pihak makmal mengesahkan sebanyak 1,645 kes dikesan merentasi 34 buah negeri sejak Mei lalu.

Agensi berkenaan turut menambah mereka sedia maklum mengenai lebih 5,100 kes tambahan lain yang dilaporkan, di mana kes-kes tersebut masih memerlukan analisis lanjut dan pengesahan rasmi.

Cyclosporiasis merupakan sejenis jangkitan usus disebabkan oleh parasit yang boleh mengakibatkan cirit-birit, loya, serta gejala gastrousus yang lain.

Berdasarkan data CDC, jangkitan ini boleh dijangkiti melalui pengambilan makanan biasanya buah-buahan dan sayur-sayuran mentah atau air yang telah tercemar dengan sisa najis.

Walaupun AS pernah berdepan dengan penularan wabak seumpamanya sebelum ini, skala jangkitan serta penyebaran geografi bagi tahun ini dilaporkan jauh lebih besar.

Situasi tersebut sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pegawai kesihatan yang sehingga kini masih gagal mengenal pasti punca utama penularan.

Susulan perkembangan itu, Senator AS dari Minnesota, Amy Klobuchar, mendesak CDC dan FDA untuk mengembalikan semula peruntukan dana serta kakitangan bagi program keselamatan makanan peringkat persekutuan dan negeri bagi memerangi wabak berkenaan.

“Ini merupakan satu proses siasatan yang masih aktif dan sedang berkembang,” kata Pakar Penyakit Bawaan Makanan di CDC, Gwen Biggerstaff.

Pihak FDA memaklumkan bahawa mereka sedang menjalankan siasatan jejak semula bagi mencari punca wabak yang mana para pegawai mengumpul maklumat daripada pesakit mengenai jenis makanan yang diambil oleh mereka dalam tempoh beberapa minggu sebelum jatuh sakit.

Akhbar The Washington Post melaporkan pegawai persekutuan dan negeri sedang menyiasat sama ada sayur salad yang dihidangkan di rangkaian restoran Taco Bell, milik syarikat Yum Brands, berkemungkinan mempunyai kaitan dengan penularan wabak tersebut.

Pihak syarikat bagaimanapun menyatakan mereka sudah mengeluarkan beberapa bahan makanan tertentu di beberapa restoran terpilih atas faktor langkah pencegahan, sambil menambah pegawai kesihatan AS masih belum mengesahkan sebarang kaitan antara rangkaian restoran berkenaan dengan penularan wabak itu.

“Buat masa ini, kami tidak mempunyai sebarang senarai makanan yang perlu dielakkan oleh orang ramai,” kata Donald Prater, Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Makanan FDA.

Meskipun begitu, CDC memaklumkan pihaknya telah mengeluarkan amaran kepada para doktor perubatan untuk melakukan ujian saringan bagi mengesan kes cyclosporiasis. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN