RIYADH: Arab Saudi memperkenalkan visa umrah bagi kemasukan berulang baharu yang sah selama 365 hari dari tarikh ia dikeluarkan, sekali gus membolehkan jemaah melakukan kunjungan berulang kali ke Tanah Suci.
Satu kenyataan daripada Agensi Berita Saudi (SPA) melaporkan, jemaah dibenarkan tinggal di Arab Saudi sehingga jumlah terkumpul 90 hari sepanjang tempoh sahlaku visa berkenaan.
Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha komprehensif Kerajaan Arab Saudi di bawah kerangka Saudi Vision 2030 dan Program Pengalaman Jemaah bagi mempermudah urusan perjalanan, meningkatkan kualiti pengalaman pelawat serta menambah baik kecekapan perkhidmatan buat para jemaah.
Di bawah kerangka baharu ini, jemaah diwajibkan membeli pakej perkhidmatan yang diluluskan menerusi platform Nusuk bagi setiap kunjungan.
Tempoh pakej berkenaan tidak boleh melebihi baki hari sahlaku visa yang tinggal. Selain itu, para pelawat juga perlu mendapatkan permit umrah menerusi aplikasi Nusuk sebelum tiba di negara berkenaan.
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi memaklumkan visa tersebut akan dinyahaktifkan secara automatik setiap kali jemaah berlepas keluar dari Arab Saudi dan akan diaktifkan semula sebaik sahaja pelawat memenuhi syarat kawal selia bagi kunjungan seterusnya.
Bagaimanapun, visa berkenaan tidak akan diaktifkan sepanjang musim haji tahunan, iaitu bermula dari 1 Zulkaedah hingga 13 Zulhijah, selaras dengan peraturan ibadah haji yang ditetapkan oleh kerajaan negara itu.
Menurut laporan SPA, kementerian berkenaan menegaskan visa baharu itu direka bagi memberikan fleksibiliti yang lebih besar kepada jemaah dalam merancang perjalanan ibadah mereka di samping menyokong pengoperasian perkhidmatan digital secara bersepadu.
Langkah ini dijangka bakal menyokong strategi Arab Saudi untuk memperluas sektor pelancongan keagamaan serta mengukuhkan kedudukan negara itu sebagai destinasi tumpuan jemaah Islam sepanjang tahun menerusi perkhidmatan digital yang diperkasakan.










