KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky pada Sabtu mendakwa bahawa Russia mahu membawa masuk 30,000 anggota tentera Korea Utara untuk mengambil bahagian dalam perang yang sedang berlaku di negaranya.
“Kami juga melihat kerjasama Russia dengan Korea Utara. Russia mahu mendapatkan tambahan 30,000 anggota tentera dari Korea Utara,” kata Zelensky dalam ucapan video pada waktu malam.
Beliau mendakwa Moscow sedang menyediakan keadaan untuk memperluaskan program mobilisasi dan merujuk kepada laporan risikan terperinci mengenai rancangan Russia untuk musim luruh.
Zelenksky mendakwa Moscow telah membuat persiapan di wilayah sempadan Voronezh untuk menerima tentera Korea Utara sejak bulan lalu.
Beliau turut menyatakan Pyongyang sedang bersiap untuk memindahkan pelancar peluru berpandu balistik baharu kepada Rusia.
“Ini bukan sahaja ancaman kepada Ukraine. Russia membantu Korea Utara mempelajari peperangan. Russia meningkatkan keupayaan senjata mereka, memberikan pengalaman dalam penggunaan senjata sebenar.
“Semua ini merupakan ancaman kepada semua pihak di Asia yang berada dalam jarak capaian peluru berpandu Korea Utara: Kami akan menanganinya,” ujarnya.
Russia dan Korea Utara telah memperkukuhkan hubungan politik serta ketenteraan sejak menandatangani perjanjian perkongsian strategik menyeluruh pada Jun 2024, yang merangkumi peruntukan bantuan bersama.
Moscow mengesahkan pada April 2025 bahawa tentera Korea Utara mengambil bahagian dalam usaha Russia untuk menawan semula wilayah di bawah kawalan Ukraine di kawasan Kursk.
Kyiv melancarkan serangan masuk ke wilayah sempadan itu pada Ogos 2024.
Sehingga kini, pihak berkuasa Rusia dan Korea Utara masih belum memberikan sebarang komen mengenai dakwaan Zelensky tersebut. – AGENSI










