14 kanak-kanak maut bumbung pusat tuisyen runtuh

14 kanak-kanak maut bumbung pusat tuisyen runtuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAHORE: Seramai 14 kanak-kanak disahkan terkorban selepas bumbung sebuah bangunan pusat tuisyen swasta di pinggir bandar Kahna, Pakistan runtuh sebelum menghempap mereka dalam satu kejadian menyayat hati.

Menurut kenyataan pihak berkuasa tempatan, antara mangsa yang berjaya dikeluarkan dari runtuhan tersebut termasuklah kanak-kanak kecil yang berusia di bawah 10 tahun.

Siasatan menyeluruh berhubung insiden berkenaan sudah dimulakan dengan dua individu ditahan bagi membantu siasatan awal.

Jurucakap perkhidmatan kecemasan Rescue 1122, Farooq Ahmed memberitahu BBC, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 4.45 petang (waktu tempatan) manakala operasi menyelamat berjaya diselesaikan dalam tempoh sejam.

Menurutnya, sebahagian besar mangsa yang ditemukan berusia antara tujuh hingga 11 tahun manakala sekurang-kurangnya lima lagi individu dipercayai mengalami kecederaan.

Sementara itu, seorang lelaki yang kehilangan anak saudaranya dalam tragedi berkenaan, Zaheer, 45, memberitahu agensi berita AFP bahawa bumbung bangunan tersebut sememangnya berada dalam keadaan yang daif.

Zaheer berkata, kerja-kerja membaik pulih jubin bumbung sedang dijalankan ketika kanak-kanak terbabit sedang leka belajar dan secara tiba-tiba bumbung berkenaan runtuh dan menghempap sebilangan besar kanak-kanak di bawahnya.

“Mereka meletakkan bebanan yang terlalu berat di atas bumbung tersebut dan itulah punca utama kejadian ini berlaku,” katanya.

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif turut menzahirkan ucapan takziah yang mendalam susulan insiden tragis itu selain mengarahkan pihak berkuasa menyediakan bantuan perubatan yang terbaik kepada mereka.

Ketua Menteri Punjab, Maryam Nawaz Sharif pula menyifatkan insiden tersebut sebagai satu tragedi yang amat meruntun jiwa menerusi hantaran yang dikongsikan dalam bahasa Inggeris di platform X.

“Kehilangan 14 nyawa yang tidak berdosa ini merupakan satu kesedihan yang amat mendalam dan seluruh jiwa raga saya bersama keluarga mangsa yang sedang berduka. Setiap individu yang didapati bertanggungjawab akan dihadapkan ke muka pengadilan mengikut lunas undang-undang yang tegas,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN