Houthi serang dua kapal tangki minyak Arab Saudi - Utusan Malaysia

Houthi serang dua kapal tangki minyak Arab Saudi

KUMPULAN Houthi menyerang dua kapal tangki di Laut Merah. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANAA: Kumpulan pro-Iran di Yemen, Houthi mendakwa telah menyerang dua kapal tangki minyak Arab Saudi di Laut Merah pada Rabu, sekali gus berpotensi membuka satu lagi medan konflik dalam perang antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang sedang melanda rantau itu.

Dakwaan itu dibuat ketika AS melancarkan gelombang baharu serangan terhadap sasaran ketenteraan Iran, menandakan malam ke-12 berturut-turut serangan AS ke atas negara itu.

Houthi berkata, mereka melancarkan serangan menggunakan peluru berpandu dan dron terhadap dua kapal tangki minyak Arab Saudi yang didakwa melanggar sekatan  dengan menamakan kapal terbabit sebagai Encelia serta Layla.

Pemantau keselamatan maritim Britain, Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom  (UKMTO), berkata, nakhoda sebuah kapal tangki melaporkan kapal itu terkena satu objek yang tidak dikenal pasti kira-kira 70 batu nautika di barat daya Al Shuqaiq, menyebabkan kebakaran yang sedang dipadamkan oleh anak kapal.

Peningkatan ketegangan di Laut Merah itu berlaku selepas Houthi mengancam untuk menyekat pelabuhan-pelabuhan Arab Saudi, sekali gus meningkatkan tekanan ke atas laluan perkapalan utama di Asia Barat yang sudah pun terjejas akibat pertempuran di Selat Hormuz.

Presiden AS, Donald Trump mengancam untuk memusnahkan sebuah jambatan atau loji janakuasa Iran bagi setiap serangan terhadap kapal di Selat Hormuz.

Pertempuran di laluan perairan penting bagi perdagangan tenaga dunia itu menyebabkan perjanjian awal antara Amerika  dan Iran terbatal, dengan Teheran menguatkuasakan semula sekatannya dan melepaskan tembakan ke arah kapal yang cuba melalui selat tersebut. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN