WASHINGTON: Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) pada Isnin menolak usaha Donald Trump untuk membatalkan keputusan juri yang mendapati beliau melakukan serangan seksual dan memfitnah E. Jean Carroll, serta mengarahkannya membayar ganti rugi sebanyak AS$5 juta (RM20 juta).
Keputusan mahkamah untuk tidak mendengar cabaran yang dikemukakan oleh presiden AS itu dibuat bersama beberapa keputusan lain dan tidak disertakan sebarang alasan.
Pada 9 Mei 2023, mahkamah sivil persekutuan di Manhattan memutuskan Trump bertanggungjawab atas satu serangan seksual terhadap bekas kolumnis akhbar itu di sebuah pusat beli-belah di New York pada 1996.
Trump membantah keputusan Mahkamah Agung yang enggan menyemak semula keputusan juri tersebut.
“Yang mengejutkan, Mahkamah Agung enggan menyemak kes palsu yang dibawa terhadap saya oleh seorang wanita yang tidak pernah saya kenali (gambar lama bersama seorang selebriti ketika beratur, dengan suaminya berada di situ, tidak membuktikan apa-apa!),” tulis Trump di media sosial.
“Saya akan terus menentang kes yang diperalatkan dan tindakan undang-undang bermotifkan politik terhadap saya ini, termasuk dakwaan fitnah yang mengarut dengan segala kekuatan dan kemampuan saya,” tambahnya.
Jean Carroll, yang kini berusia 82 tahun, mendedahkan dalam sebuah buku yang diterbitkan pada 2019 bahawa beliau mendakwa telah dirogol oleh Trump 23 tahun sebelum itu di sebuah bilik persalinan pakaian.
Bilionair daripada Parti Republikan itu pula pernah menyifatkan Carroll sebagai ‘orang gila’. – AFP










