Tentera Zionis tuduh Iran laku kesilapan besar selepas serang Israel - Utusan Malaysia

Tentera Zionis tuduh Iran laku kesilapan besar selepas serang Israel

EYAL ZAMIR - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Israel menuduh Teheran melakukan kesilapan besar pada Ahad selepas melaporkan bahawa negara itu menjadi sasaran beberapa gelombang serangan peluru berpandu Iran, iaitu serangan pertama seumpama itu sejak gencatan senjata diumumkan pada 8 April dalam Perang Asia Barat.

Siren amaran serangan udara berbunyi di kawasan luas di utara dan tengah Israel, termasuk bandar Haifa, Caesarea dan Hadera, menurut pihak tentera.

Selepas itu, Ketua Tentera Israel, Leftenan Jeneral Eyal Zamir berikrar bahawa tenteranya akan menyerang musuh dengan kekuatan penuh sebaik sahaja lampu hijau diberikan, menurut kenyataan tentera.

Dalam beberapa kenyataan yang dikeluarkan dalam tempoh singkat, tentera Israel berkata, mereka mengesan peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran dan kesemuanya berjaya dipintas.

Menjawab permintaan untuk mendapatkan butiran lanjut, tentera berkata, sebanyak 11 peluru berpandu telah dilancarkan dari Iran.

Perkhidmatan Kecemasan Israel, Magen David Adom, memaklumkan tiada laporan mengenai kematian atau kecederaan akibat peluru berpandu tersebut, namun beberapa individu cedera ketika bergegas menuju ke tempat perlindungan.

“Rejim Iran telah melakukan kesilapan besar dengan sekali lagi memilih jalan keganasan,” kata jurucakap tentera, Brigedier Jeneral Effie Defrin, dalam kenyataan yang disiarkan di televisyen.

Teheran berkata, pelancaran peluru berpandu itu bertujuan sebagai satu amaran susulan serangan udara Israel ke atas pinggir selatan Beirut pada awal hari yang sama dan menambah bahawa sebarang pencerobohan lanjut akan dibalas dengan tindak balas yang lebih meluas terhadap semua sasaran Amerika Syarikat (AS) dan Israel di rantau tersebut.

Semua sekolah di seluruh Israel akan ditutup pada Isnin, menurut kenyataan bersama Kementerian Pendidikan Israel dan Markas Barisan Hadapan Tentera pada Ahad malam.

Perang Asia Barat, yang tercetus susulan serangan ketenteraan AS dan Israel terhadap Teheran yang bermula pada 28 Februari, memasuki hari ke-100 pada Ahad. – AFP

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN