Penunjuk perasaan sekat laluan ke stadium Piala Dunia Mexico

Penunjuk perasaan sekat laluan ke stadium Piala Dunia Mexico

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEXICO CITY: Sekumpulan penunjuk perasaan menyekat sebuah jalan utama yang menghala ke Stadium Estadio Azteca hanya beberapa hari sebelum sepak mula Piala Dunia FIFA 2026 berlangsung di lokasi berkenaan.

Ketika peminat bola sepak mula membanjiri kejohanan itu, Mexico berdepan siri protes oleh guru-guru di ibu negaranya. Piala Dunia 2026 dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat (AS), Canada dan Mexico.

Ribuan orang menyertai protes yang dipimpin oleh kumpulan serpihan daripada kesatuan guru CNTE selepas seminggu demonstrasi yang disifatkan Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum sebagai satu provokasi.

“Seolah-olah mereka mahu menunjukkan kepada dunia bahawa keadaan di Mexico sangat buruk,” katanya dalam sidang media.

Sekatan polis menghalang penunjuk perasaan daripada menghampiri Stadium Azteca yang akan menjadi lokasi perlawanan pembukaan Piala Dunia pada 11 Jun.

Dengan ribuan anggota keselamatan dikerahkan dan penghadang konkrit dipasang di sekitar stadium, para penunjuk perasaan berhimpun di jalan raya selama kira-kira tiga jam sebelum bersurai.

Ketua Keselamatan Mexico City, Pablo Vazquez berkata, perhimpunan itu berlangsung secara aman.

Sheinbaum sebelum ini memberi jaminan perlawanan pembukaan akan diteruskan seperti dirancang, namun sekali lagi menolak penggunaan kekerasan polis untuk mengekang demonstrasi.

Kerajaannya memilih pendekatan dialog dengan para guru yang membantah, namun usaha itu belum membuahkan hasil. Seorang penunjuk perasaan, Austreberto Flores berkata, kumpulan itu akan meneruskan perjuangan mereka.

Kesatuan guru CNTE melancarkan mogok sejak minggu lalu bagi menuntut kenaikan gaji serta pembatalan undang-undang pencen yang menurut kerajaan tidak dapat dilaksanakan.

Para guru turut mendirikan khemah berhampiran zon peminat Piala Dunia di Dataran Zocalo, Mexico City.

Pada 1 Jun lalu, polis menyuraikan penunjuk perasaan di kawasan itu menggunakan peluru getah dan gas pemedih mata.

Sheinbaum berkata, pihak tertentu cuba menggambarkan Mexico sedang berdepan kekacauan sosial besar-besaran, sedangkan perkara itu tidak benar.

Guru-guru terbabit turut menyeru satu lagi demonstrasi pada 11 Jun yang akan disertai keluarga mangsa yang digelar ‘orang hilang’ iaitu individu yang didakwa dibunuh atau diculik oleh pihak berkuasa Mexico atau kumpulan jenayah.

Edisi 2026 kejohanan bola sepak terbesar dunia itu dianggap paling kompleks dari segi logistik dalam sejarah penganjurannya.

Jutaan penonton di seluruh dunia dijangka mengikuti upacara pembukaan dan perlawanan pembukaan yang menemukan Mexico dengan Afrika Selatan.

Mexico pada masa sama masih giat menyiapkan kerja naik taraf beberapa stesen kereta api bawah tanah dan lapangan terbang utamanya menjelang kejohanan tersebut. — AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN