Penunjuk perasaan anti-ICE dihukum penjara 450 tahun 

Penunjuk perasaan anti-ICE dihukum penjara 450 tahun 

LAPAN individu dijatuhi hukuman penjara selepas menyertai rusuhan di kemudahan di Prairieland yang terletak di selatan Dallas pada 4 Julai tahun lalu.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALLAS: Lapan individu yang didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan anti-fasis (Antifa), secara kolektif dijatuhi hukuman penjara selama 450 tahun atas peranan mereka dalam satu rusuhan di luar sebuah pusat tahanan imigresen di Texas.

Seorang bekas anggota simpanan Kor Marin AS yang disabitkan kesalahan atas percubaan membunuh seorang pegawai penguatkuasa undang-undang, dijatuhi hukuman penjara 100 tahun. Menurut Jabatan Keadilan, baki tertuduh yang lain menerima hukuman penjara antara 30 hingga 70 tahun.

Tahun lalu, Presiden AS, Donald Trump mengisytiharkan Antifa sebagai sebuah organisasi pengganas domestik. Seorang hakim AS menyifatkan tindakan mereka pada 4 Julai itu sebagai serangan terhadap demokrasi manakala ahli keluarga tertuduh mengutuk tempoh hukuman penjara yang disifatkan keterlaluan.

“Hukuman yang dijatuhkan hari ini jelas menunjukkan pengganas Antifa yang menyerang penguatkuasa undang-undang dan kemudahan persekutuan akan berdepan keadilan yang cepat dan tanpa kompromi,” kata Pemangku Peguam Negara AS, Todd Blanche dalam satu kenyataan yang mengutuk sekeras-kerasnya fahaman ekstremisme ganas.

Jabatan Keadilan AS (DOJ) memaklahumkan penggerak Sel Antifa Texas Utara itu mula melepaskan tembakan dan membaling bunga api ke arah kemudahan di Prairieland yang terletak di selatan Dallas semasa cuti Hari Kemerdekaan pada musim panas lalu, selain merosakkan kenderaan dan pondok pengawal di premis berkenaan.

Kesemua lapan individu tersebut disabitkan atas pelbagai pertuduhan termasuk merusuh, menggunakan senjata dan bahan letupan, memberikan sokongan material kepada pengganas serta menghalang tugas penjawat awam.

Benjamin Hanil Song yang didakwa sebagai pemimpin kumpulan tersebut dijatuhi hukuman penjara 100 tahun. Menurut Jabatan Keadilan, beliau sebelum ini berdepan hukuman penalti minimum selama 20 tahun.

Menerusi satu kenyataan bertulis pada Selasa, Song mendakwa beliau melepaskan tembakan kerana mempercayai pegawai polis terbabit sedang bersiap sedia untuk menembak seorang penunjuk perasaan, memetik laporan beberapa agensi media dan kumpulan advokasi bagi pihak defendan.

Ibunya, Hope Song, menyangkal dakwaan anaknya menembak pegawai berkenaan dan menegaskan beliau tidak berniat untuk mencederakan sesiapa, lapor agensi berita Associated Press.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×