RAMALLAH: Sejumlah peneroka haram Yahudi membakar kenderaan dan menyerang sebuah masjid pada Ahad di Tebing Barat yang diduduki Israel ketika serbuan tentera rejim Zionis berterusan di bandar dan kampung Palestin.
Di kampung Deir Abu Mashal, di barat laut Ramallah, peneroka haram itu menyerang penduduk Palestin ketika mereka dalam perjalanan menuju ke tanah pertanian di selatan kampung itu.
Sumber tempatan memberitahu agensi berita Anadolu bahawa peneroka haram tersebut melempar batu ke arah penduduk Palestin, mencetuskan pertempuran sebelum tentera Israel menyerbu kawasan berkenaan untuk melindungi mereka. Tiada kecederaan atau tangkapan dilaporkan.
Dalam satu lagi serangan di Deir Dibwan, di timur Ramallah, peneroka haram Yahudi membakar dua kenderaan dan merosakkan dua lagi berhampiran pintu masuk barat bandar itu.
Saksi memberitahu Anadolu bahawa dua kenderaan itu musnah terbakar manakala dua lagi mengalami kerosakan teruk sebelum penyerang melarikan diri dari lokasi kejadian. Tiada kecederaan dilaporkan.
Lebih ke timur Ramallah, peneroka haram menyerang kampung Burqa dengan membakar sebuah kenderaan yang diparkir berhampiran Masjid Al-Nour.
Mereka juga cuba membakar masjid tersebut selepas memecahkan pintunya dan membakar bahagian pintu masuk.
Serangan-serangan itu berlaku ketika peningkatan serangan oleh peneroka haram Yahudi yang menyasarkan harta benda rakyat Palestin, tempat ibadat dan tanah pertanian di kampung-kampung sekitar timur Ramallah.
Sementara itu, tentera Israel menyerbu bandar Silwad dan kampung Yabrud di timur Ramallah dengan mengerahkan kenderaan tentera ke jalan-jalan utama tanpa sebarang tangkapan dilaporkan.
Peneroka haram Yahudi turut menyerbu kawasan pinggir kampung Raboud berhampiran Dura di wilayah Hebron selatan, manakala tentera Israel menyerbu bandar Beita di selatan Nablus, menurut sumber tempatan.
Pada Mei lalu, tentera Israel melancarkan 1,108 serangan terhadap rakyat Palestin dan harta benda mereka, manakala peneroka haram Israel melakukan 551 serangan, menurut Suruhanjaya Penentangan Penjajahan dan Tembok milik kerajaan Palestin. – AGENSI










