MOSCOW: Krisis bekalan minyak mula berlaku di Moscow Russia berikutan serangan Ukraine terhadap kilang penapisan, depoh penyimpanan dan rangkaian logistiknya yang menjejaskan bekalan domestik.
Russia yang merupakan salah satu pengeluar minyak terbesar dunia telah memperkenalkan pelbagai sekatan ke atas penjualan petrol di seluruh negara berikutan serangan itu.
Beberapa wilayah telah melaksanakan catuan bekalan petrol, manakala sebahagian stesen minyak dan rangkaian pengendali terpaksa menghentikan jualan atau menutup operasi kerana kekurangan bekala
Wartawan AFP melaporkan barisan panjang di beberapa stesen minyak di ibu negara, dengan sebahagiannya kehabisan pelbagai jenis petrol. Sejumlah stesen minyak mengehadkan penjualan kepada 30 liter seorang, manakala ada juga yang ditutup.
“Kami beratur selama sejam, sejam setengah. Apabila memandu 200 kilometer dari Moscow, mereka tidak akan memberi lebih daripada 10 liter (manakala) di sesetengah tempat langsung tiada,” kata seorang pemandu teksi, Safarali Nazarov.
Kekurangan petrol di Moscow adalah sesuatu yang sangat luar biasa.
Dalam satu mesyuarat yang disiarkan minggu ini, Timbalan Perdana Menteri Russia, Alexander Novak memberitahu Presiden Vladimir Putin bahawa kekurangan bahan api ‘masih terkawal.
Walaupun mengutuk tindakan Ukraine, pihak berkuasa tidak mengaitkan kekurangan itu dengan gelombang serangan terbaharu.
Ukraine mempergiatkan kempen serangan dron jarak jauh ke atas kemudahan tenaga Russia dalam beberapa bulan kebelakangan ini, sebagai usaha untuk memutuskan sumber pendapatan penting Kremlin.
Minggu lalu, sebuah kilang penapisan minyak besar di pinggir Moscow diserang, menyebabkan asap hitam tebal menyelubungi ibu negara itu. Moscow mengehadkan eksport dan mengarahkan peruncit supaya menyediakan data langsung mengenai ketersediaan bekalan bahan api di pam bagi menggerakkan tindak balas kerajaan. – AFP











