Laluan kapal di Selat Hormuz lebih banyak banding sebelum perjanjian damai - Utusan Malaysia

Laluan kapal di Selat Hormuz lebih banyak banding sebelum perjanjian damai

LALUAN perkapalan di Selat Hormuz lebih banyak berbanding sebelum ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Trafik maritim di Selat Hormuz pada Isnin terus bergerak pada kadar yang lebih banyak berbanding sebelum perjanjian antara Amerika Syarikat (AS)  dan Iran untuk mengadakan rundingan menamatkan perang di Asia Barat, menurut syarikat pemantauan perkapalan, meskipun Teheran mengumumkan penutupan semula laluan strategik itu.

“Data terkini menunjukkan pemulihan trafik yang berhati-hati tetapi jelas selepas memorandum persefahaman (MoU) antara AS dan Iran, walaupun corak harian masih tidak menentu,” kata Mihail Todorov daripada AXSMarine, penyedia data perkapalan, kepada AFP.

Sehingga pukul 3.30 petang GMT pada Isnin (lewat petang waktu tempatan), platform pemantauan maritim Kpler telah merekodkan 26 pelayaran kapal komoditi melalui selat tersebut.

Jumlah itu menghampiri tahap yang dicatatkan pada Khamis dan Sabtu selepas perjanjian berkenaan ditandatangani secara rasmi oleh Presiden AS, Donald Trump dan rakan sejawatannya dari  Iran, Masoud Pezeshkian ketika trafik mencecah sekitar 30 pelayaran sehari.

Menurut data navigasi AXSMarine, sekurang-kurangnya 26 kapal komersial, termasuk kapal kontena telah melalui selat itu menjelang pagi Isnin.

Trafik pada Sabtu mencatat tahap tertinggi sejak perang bermula, dengan AXSMarine merekodkan 38 pelayaran kapal komersial, termasuk 32 kapal komoditi, menurut data Kpler.

Kedua-dua rekod itu berpotensi diatasi pada Isnin selepas angka penuh hari tersebut disahkan.

Selat Hormuz, yang ditutup Iran pada permulaan perang, dibuka semula minggu lalu selepas perjanjian AS-Iran dicapai.

Namun, Teheran mengumumkan pada Sabtu bahawa ia menutup semula laluan perairan strategik itu sebagai tindak balas terhadap serangan Israel di Lubnan.

Sejak itu, Teheran dan Washington telah mencapai persetujuan mengenai mekanisme untuk menamatkan pertempuran di Lubnan dan menjamin keselamatan selat tersebut, yang biasanya menjadi laluan bagi kira-kira satu perlima daripada bekalan minyak dunia. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×