BEIJING: Presiden China, Xi Jinping berkata, hubungan antara Beijing dan Korea Utara berada pada titik permulaan sejarah baharu ketika beliau di Pyongyang pada Isnin bagi menghadiri sidang kemuncak jarang diadakan bersama Pemimpinnya, Kim Jong-un.
Jinping berkata, dasar China yang tidak berbelah bahagi adalah untuk terus membangunkan hubungan dengan Korea Utara dan kedua-dua negara akan memperkukuh pertukaran dalam semua bidang.
“Kita mesti menentang hegemoni, autoritarianisme dan segala usaha serta konspirasi untuk menghidupkan semula militarisme yang mengancam keselamatan termasuk kestabilan serantau,” katanya.
Lawatan itu dilihat penting kerana ia merupakan perjalanan antarabangsa pertamanya tahun ini.
Beliau dijangka mengadakan perbincangan dengan Jong-un sepanjang lawatan dua hari itu, yang juga merupakan kunjungan pertamanya ke negara jiran tertutup itu dalam tempoh tujuh tahun.
Ia juga dibuat ketika ekonomi Korea Utara semakin kukuh hasil peningkatan perdagangan dan hubungan ketenteraan dengan Russia yang berpotensi meningkatkan keyakinan Jong-un dalam rundingan.
“Lawatan ini bertujuan mengekalkan tradisi dalam keadaan yang sangat berbeza berbanding lawatan terakhir beliau selain menekankan kerjasama strategik dan ideologi sosialisme,” kata Felo Kanan Persatuan Asia, John Delury dalam hantaran di platform X.
Jinping turut berjanji untuk bekerjasama dengan Korea Utara dalam mempromosikan multilateralisme yang adil dan teratur termasuk globalisasi ekonomi yang inklusif demi manfaat dunia, dengan keamanan serta kestabilan serantau jangka panjang menjadi matlamat bersama kedua-dua negara. – AGENSI










