Iran-Israel saling berbalas serangan - Utusan Malaysia

Iran-Israel saling berbalas serangan

DUA lelaki memeriksa sebuah roket yang separuh terbenam di dalam tanah di pinggir bandar Jericho. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUBAI/TEHERAN: Iran dan Israel pada Isnin saling menyerang wilayah masing-masing buat kali pertama sejak gencatan senjata rapuh menghentikan sementara perang selama lima minggu, sekali gus mencetuskan kebimbangan bahawa pe­ningkatan ketegangan itu boleh mencetuskan konflik berskala penuh yang baharu.

Tentera Israel menyatakan Iran melancarkan hampir 30 peluru berpandu ke arah Israel sejak malam Ahad.

Seorang pegawai tentera me­nambah bahawa kumpulan  Houthi di Yemen turut melancarkan dua peluru berpandu secara berasingan ke arah Israel.

TINDAK BALAS

Israell bertindak balas de­ngan menyasarkan beberapa lokasi ketenteraan di Republik Islam itu. 

Tindakan tersebut dilihat menunjukkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Ne­tanyahu, tidak mengendahkan gesaan sekutunya, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, supaya menahan diri daripada meningkatkan konflik.

Serangan Teheran itu menyu­suli serangan Israel terhadap sasaran milik kumpulan Syiah Lubnan yang disokong Iran, Hizbollah, di pinggir selatan Beirut. Iran berulang kali memberi amaran bahawa ia akan menyerang Israel sekiranya ibu negara Lubnan itu menjadi sasaran.

Harga minyak melonjak berikutan kebimbangan bahawa perang boleh tercetus semula, sekali gus memusnahkan harapan untuk penamatan segera kebuntuan yang telah mengehadkan perkapalan melalui Selat Hormuz, laluan perdagangan penting dunia, di tengah kebimbangan me­ngenai kekurangan bekalan tenaga dan barangan global.

Serangan itu juga berlaku pada saat yang kritikal ketika usaha diplomatik untuk menamatkan konflik, yang melibatkan Pakistan sebagai perantara, berada dalam keadaan yang amat genting.

RUNDINGAN

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei, memberi amaran dalam sidang media di Teheran yang dihadiri AFP bahawa adalah sesuatu yang semula jadi jika proses diplomatik yang dimulakan untuk menamatkan perang yang dipaksakan itu terjejas.

Namun beliau menambah: “Rundingan diplomatik secara semula jadinya akan diteruskan dalam apa jua keadaan.”

Ketika beliau sedang berucap di kementerian tersebut, satu letupan kuat menggegarkan bangunan itu. Ia diikuti beberapa letupan lain yang dipercayai berpunca daripada sistem pertahanan udara, menurut wartawan AFP.

Media tempatan Iran turut melaporkan bahawa sebuah dron musuh telah ditembak jatuh oleh sistem pertahanan udara di ruang udara Teheran.

Israel melancarkan serangan ke atas beberapa kawasan di tengah dan barat Iran awal Isnin sebagai tindak balas terhadap serangan peluru berpandu dari Teheran. Media rasmi Iran melaporkan bunyi letupan kede­ngaran di Isfahan, Karaj, Tabriz dan Teheran, tanpa memberikan butiran lanjut.

BERBALAS SERANGAN

Seorang saksi di Teheran berkata, beliau mendengar sekurang-kurangnya satu letupan besar di bahagian barat ibu negara itu. Iran turut menutup ruang udara sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini susulan serangan Israel.

Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mendakwa Israel menggunakan peluru berpandu balistik dilancarkan dari udara dalam serangan tersebut.

Tentera Israel berkata, pihaknya menyerang dan memusnahkan sistem pertahanan Iran yang ditempatkan di beberapa kawasan di negara itu sementara wartawan AFP melaporkan beberapa siri letupan turut kedengaran di Baitulmuqaddis serta bandar Ramallah di Tebing Barat.

Agensi berita Fars dan Mehr melaporkan serangan Israel turut mengenai sebuah kilang petrokimia di Mahshahr, wilayah Khuzestan, sebelum tentera rejim kemudian mengesahkan serangan berkenaan.

Iran kemudian membalas dengan beberapa gelombang serangan, menjadikannya pertempuran paling serius sejak gencatan senjata dicapai pada 8 April lalu selepas perang bermula melibatkan AS dengan Israel pada 28 Februari lalu.

Beberapa letupan kedengaran di tengah Israel ketika sistem pertahanan udara cuba memintas serangan dari Iran, manakala siren amaran peluru berpandu turut berbunyi di negara jiran, Jordan.

Terdahulu, siren amaran turut berbunyi di seluruh Israel selepas tentera Israel memaklumkan sebuah peluru berpandu dilancarkan dari Yemen. Perkhidmatan kecemasan Israel berkata, tiada laporan kematian atau kerosakan akibat serangan itu.

IRGC berkata, mereka menyasarkan pangkalan udara Nevatim dan Tel Nof di Israel serta fasiliti pterokimia rejim itu dalam serangan yang dinamakan Operasi Nasr atau ‘Kemenangan’.

Menurut mereka, serangan itu dilancarkan selepas Israel menyerang tapak radar di tiga kawasan di Iran. Teheran sebelum ini memberi amaran akan bertindak balas selepas Israel menyerang pinggir selatan Beirut tanpa amaran, meskipun AS beberapa hari lalu meminta supaya ketegangan dikurangkan.

Houthi yang disokong Iran turut mengaku melancarkan serangan ke atas Israel dan berkata, kapal berkaitan Israel sekali lagi akan menjadi sasaran di Laut Merah, Teluk Aden serta Selat Bab el-Mandeb.

Sepanjang perang Israel-Hamas di Gaza, Houthi dilaporkan membunuh sekurang-kurangnya sembilan pelaut dan menenggelamkan empat kapal dalam lebih 100 serangan.

Serangan itu mengganggu perdagangan global di Laut Merah yang sebelum perang menyaksikan barangan bernilai sekitar AS$1 trilion (RM4.07 trilion) melalui laluan berkenaan setiap tahun.

Ia turut memberi kesan besar kepada operasi Terusan Suez Mesir, salah satu sumber utama pertukaran mata wang asing negara itu.

Ancaman baharu Houthi mun­cul ketika Arab Saudi bergantung kepada saluran paip Timur-Barat untuk mengeksport minyak melalui Laut Merah sebagai alternatif kepada Selat Hormuz.

Sementara itu, di Arab Saudi pula, siren amaran peluru berpandu berbunyi di kawasan yang menempatkan pangkalan udara yang digunakan tentera AS.

Media rasmi Riyadh me­laporkan amaran dikeluarkan di kawasan Al Kharj yang menempatkan Pangkalan Udara Prince Sultan sebelum pihak berkuasa kemudian memaklumkan ancaman peluru berpandu telah berakhir tanpa memberikan penjelasan lanjut.

Semalam menandakan hari ke-101 perang Iran yang bermula pada 28 Februari selepas Israel dan AS membunuh Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei serta beberapa pemimpin kanan lain. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN