CHENNAI: Ribuan rakyat India kini dibayar untuk merakam rutin harian mereka seperti memasak, melipat pakaian dan menjalankan tugas di kilang-kilang bagi melatih robot berkuasa kecerdasan buatan (AI) dan membantu membangunkan teknologi yang berpotensi mengambil alih sebahagian pekerjaan manusia pada masa depan.
Walaupun hanya memperoleh sekitar 2 dolar AS (RM8.13) bagi setiap jam rakaman video, rakaman rutin harian itu amat bernilai kepada syarikat teknologi global yang sedang mengajar mesin atau robot yang bergerak seperti manusia dalam dunia sebenar.
“Siapa lagi yang sanggup membayar 250 rupee (RM10.76) sejam hanya untuk melakukan kerja rumah? Saya mungkin akan memiliki robot sendiri pada masa depan,” kata Nagireddy Sriramyachandra dengan sebuah telefon pintar dipasang pada kepala untuk merakam pergerakannya memotong buah mangga di dapur rumahnya di Chennai, Tamil Nadu.
Wanita berusia 25 tahun itu merupakan antara ribuan jurulatih sistem AI yang semakin bertambah bilangannya di negara paling ramai penduduk di dunia itu.
Walaupun chatbot AI dan penjana imej menggunakan sejumlah besar data digital, membangunkan sistem yang mampu bergerak dan berfungsi dalam persekitaran sebenar jauh lebih mencabar.
Menurut AFP, pembangun teknologi percaya rakaman dari sudut pandangan orang pertama yang dikenali sebagai ‘data egosentrik’ boleh membantu model AI khusus meniru pergerakan manusia.
Sebahagian jurulatih AI bekerja dari rumah, manakala yang lain bertugas di kilang atau studio khas dengan menggunakan cermin mata video, kamera yang dipasang pada kepala serta sensor pergerakan.
“Ia akan berbunyi ‘tangan tidak dikesan’ apabila saya tidak merakam dengan betul,” kata Sriramyachandra yang menghantar rakamannya melalui aplikasi khas kepada syarikat data AI, Objectways.
Syarikat yang mempunyai pejabat di India dan Amerika Syarikat (AS) itu menyenaraikan beberapa syarikat multinasional Fortune 500 sebagai pelanggan dan turut bekerjasama dengan Amazon SageMaker, sebuah platform model pembelajaran mesin.
“Melipat pakaian, membuat kopi, memasak hidangan tertentu dan menyediakan sandwich antara jenis video yang diminta pelanggan. Ada pekerjaan yang memang sepatutnya diambil alih supaya manusia boleh melakukan perkara yang lebih baik,” kata Ketua Objectways, Ravi Shankar.











