BEIRUT: Ketua Hizbollah menolak gencatan senjata bersyarat yang diumumkan wakil Lubnan dan Israel, sebaliknya menuntut perjanjian menyeluruh serta pengunduran penuh tentera Israel.
Kumpulan itu malah turut mengancam melancarkan serangan baharu ke utara Israel.
Kenyataan Naim Qassem dibuat selepas wakil Lubnan dan Israel di Amerika Syarikat (AS) bersetuju melaksanakan gencatan senjata bersyarat yang disifatkan Presiden Lubnan, Joseph Aoun sebagai ‘peluang terakhir’ untuk menamatkan konflik secara berkekalan.
Hizbollah sebelum ini menolak rundingan Israel-Lubnan, manakala gencatan senjata yang diumumkan pada 17 April lalu dilanggar hampir setiap hari.
Tentera Israel pula terus ditempatkan jauh di dalam wilayah Lubnan dan kumpulan disokong Iran itu meneruskan serangan balas terhadap mereka.
“Gencatan senjata mesti menyeluruh tanpa memberi kebebasan kepada musuh Israel untuk membunuh.
“Selagi kampung-kampung kami tidak selamat, dibom, dimusnahkan dan rakyat kami dibunuh, penempatan di utara Israel juga tidak akan selamath,” kata Qassem. Beliau menggesa kerajaan menghentikan apa disifatkannya sebagai sandiwara dan penghinaan susulan rundingan langsung dengan Israel.
Ucapan itu dibuat selepas Israel melancarkan serangan baharu ke atas Lubnan dan Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz mengeluarkan ancaman baharu terhadap Beirut.
Katz mendakwa tentera Israel akan meneruskan serangan dan operasi darat tanpa kepulangan penduduk sambil terus memusnahkan infrastruktur pengganas.
Beliau turut berkata, tentera Israel masih mempunyai kebebasan bertindak dengan sokongan AS untuk menyerang Beirut sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas komuniti dan wilayah Israel.
Menurut kenyataan bersama selepas pertemuan di Washington, kedua-dua pihak yang tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi itu bersetuju mewujudkan ‘zon perintis’ di mana tentera Lubnan akan mengambil kawalan eksklusif ke atas kawasan terbabit. – AFP










