liban bincang isu hantar pulang pendatang Afghanistan

EU, Taliban bincang isu hantar pulang pendatang Afghanistan

AKTIVIS Amnesty International memegang sepanduk membantah pertemuan antara pihak berkuasa EU dan delegasi Taliban di hadapan ibu pejabat Suruhanjaya Eropah di Brussels.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRUSSELS: Satu delegasi Taliban mengadakan pertemuan dengan Kesatuan Eropah (EU) di Brussels bagi membincangkan usaha mempercepatkan penghantaran pulang pencari suaka Afghanistan yang gagal dalam permohonan mereka.

Lawatan yang  julung kali diadakan itu bagaimanapun mendapat kritikan hebat daripada aktivis hak asasi manusia.

Suruhanjaya Eropah (EC) menjemput delegasi seramai lima orang itu bagi mengadakan perbincangan dalam usaha menangani migrasi tidak teratur dan meningkatkan penghantaran pulang walaupun EU tidak mengiktiraf pentadbiran Taliban secara rasmi.

“Mesyuarat tersebut bersifat membina dan terdapat harapan ia akan membawa kepada perkembangan positif,” kata seorang pegawai Afghanistan yang enggan dikenali kepada AFP.

EC menyatakan perbincangan tersebut tertumpu kepada kemungkinan penghantaran pulang warga Afghanistan yang melakukan jenayah berat dan mengancam keselamatan serta menangani isu praktikal seperti proses pengenalan diri dan pengeluaran dokumen perjalanan.

Pertemuan itu menyusul selepas lawatan pegawai EU ke Afghanistan pada Januari lalu dan bertujuan memberi peluang kepada negara anggota yang bertanggungjawab mengatur pemulangan untuk mewujudkan hubungan dengan pihak berkuasa Taliban.

Jurucakap berkata, 15 negara anggota EU mengambil bahagian dalam mesyuarat peringkat teknikal yang dipengerusikan bersama oleh Sweden itu, sekaligus menegaskan minat meluas terhadap inisiatif yang disifatkan pengkritik sebagai bercanggah dengan nilai-nilai blok 27 negara tersebut.

Negara-negara EU dan suruhanjaya itu bagaimanapun menafikan menerima delegasi Taliban adalah sama dengan mengiktiraf kerajaan di Kabul.

“Ini adalah babak yang memalukan bagi Eropah. Suruhanjaya ini memberi legitimasi kepada rejim yang memijak hak wanita dan kanak-kanak perempuan,” tegas seorang penggubal undang-undang Eropah, Cecilia Strada.

Kerajaan-kerajaan Eropah berusaha mengambil pendirian lebih tegas mengenai migrasi susulan sentimen orang awam yang semakin keras dan menyumbang kepada peningkatan sokongan terhadap parti berhaluan kanan di seluruh benua itu.

Dengan penurunan jumlah ketibaan pendatang pada 2025, fokus EU kini beralih kepada menambah baik sistem pemulangan. Pada masa ini, kurang daripada 30 peratus individu yang diarahkan untuk meninggalkan negara tersebut sebenarnya pulang ke negara asal mereka.

“Keupayaan untuk memulangkan individu yang tidak mempunyai hak undang-undang untuk kekal di dalam negara adalah asas kepada sistem suaka dan migrasi yang kredibel serta berfungsi dengan baik,” kata Menteri Migrasi Sweden, Johan Forssell selepas perbincangan tersebut.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×