BEIJING: Tentera dan pengawal pantai China berkata mereka telah menjalankan rondaan berhampiran Beting Scarborough di Laut China Selatan pada Ahad, sehari selepas menteri pertahanan Filipina berkata, Manila masih berdepan ancaman daripada Beijing walaupun ketegangan Amerika Syarikat (AS)–China semakin reda baru-baru ini.
Beting Scarborough merupakan salah satu kawasan maritim paling dipertikaikan di Asia dan sering menjadi titik panas antara China dan Filipina berhubung isu kedaulatan dan hak perikanan.
Pemerintah Teater Selatan Tentera Pembebasan Rakyat berkata dalam satu kenyataan di platform WeChat bahawa unit laut dan udara mereka menjalankan rondaan kesiapsiagaan tempur di perairan wilayah dan ruang udara kawasan beting tersebut serta persekitarannya.
“Rondaan sebegini berfungsi sebagai langkah balas yang berkesan untuk menangani pelbagai pelanggaran hak serta tindakan provokatif,” kata kenyataan itu.
Pengawal pantai China pula dalam kenyataan berasingan berkata, mereka menjalankan rondaan penguatkuasaan undang-undang berhampiran Beting Scarborough dan sejak bulan lalu telah menangani kapal yang terlibat dalam aktiviti pelanggaran hak secara haram mengikut undang-undang serta peraturan, tanpa memberi butiran lanjut.
Kedutaan Filipina di Beijing tidak segera memberi maklum balas terhadap permintaan komen melalui e-mel.
’Rondaan itu berlaku ketika menteri pertahanan, ketua tentera dan pembuat dasar rantau Asia-Pasifik berkumpul di Singapura bagi menghadiri Dialog Shangri-La, forum pertahanan utama Asia.
Bercakap kepada Reuters di luar sidang kemuncak itu, Menteri Pertahanan Filipina, Gilberto Teodoro berkata, negaranya masih berdepan ancaman serius dari China dari segi wilayah dan politik, walaupun ketegangan AS–China sedikit reda selepas pertemuan antara Presiden Donald Trump dan Presiden Xi Jinping awal bulan lalu.
“Kami tiada pilihan selain kekal berdaya tahan dan menentang pencerobohan China,” katanya. – AGENSI










