BENGALURU: Sebannyak 60 negara termasuk Malaysia berdepan cadangan pelaksanaan duti tambahan antara 10 hingga 12.5 peratus ke atas import oleh pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, susulan dakwaan kegagalan membendung perdagangan barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa.
Pejabat Wakil Perdagangan AS (USTR) dalam satu kenyataan memaklumkan, kegagalan negara dan wilayah terbabit mengambil langkah berkesan menangani isu berkenaan dianggap sebagai amalan yang tidak munasabah serta menyekat perdagangan AS.
Lapor Reuters, cadangan itu adalah penemuan terbaharu hasil siasatan di bawah Seksyen 301 berkaitan amalan perdagangan tidak adil, ketika pentadbiran Trump berusaha mengembalikan tarif kecemasan yang sebelum ini dibatalkan oleh Mahkamah Agung AS Februari lalu.
Menurut USTR, duti tambahan sebanyak 10 peratus dicadangkan ke atas import dari beberapa ekonomi termasuk Kanada, Ecuador, Kesatuan Eropah (EU), Indonesia, Mexico, Pakistan, Argentina, Bangladesh, Kemboja, El Salvador, Guatemala, Malaysia, Taiwan dan United Kingdom (UK), susulan penemuan berkaitan isu buruh paksa.
USTR berkata, duti tambahan sebanyak 12.5 peratus pula akan dikenakan ke atas baki 45 negara yang turut disiasat dalam kes berkenaan.
Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer berkata, kegagalan rakan dagang utama negara itu menangani kemasukan barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa adalah tidak boleh diterima.
“Keadaan ini mewujudkan persaingan yang tidak adil apabila pekerja AS terpaksa bersaing di peringkat global dalam medan yang tidak seimbang,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, USTR turut mencadangkan satu mekanisme khas bagi sektor tekstil yang membolehkan sejumlah import pakaian dan tekstil memasuki pasaran AS pada kadar tarif yang lebih rendah, namun kadar duti serta kuota yang terlibat masih belum didedahkan.
Pengumuman itu dibuat menjelang tamatnya tempoh tarif sementara 10 peratus yang dikenakan pentadbiran Trump pada 20 Februari lalu, iaitu hari yang sama Mahkamah Agung AS membatalkan tarif Trump yang dilaksanakan di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA).
Pada Isnin, USTR turut mencadangkan duti sebanyak 25 peratus ke atas pelbagai barangan dari Brazil susulan siasatan Seksyen 301 berkaitan amalan perdagangan digital dan tarif keutamaan negara itu.
Agensi perdagangan berkenaan juga dijangka mengumumkan tidak lama lagi hasil satu lagi siasatan utama di bawah Seksyen 301 berhubung lebihan kapasiti perindustrian dalam kalangan 16 rakan dagang AS, termasuk China.
Dalam penemuan berkaitan buruh paksa itu, USTR memaklumkan beberapa produk akan dikecualikan daripada tarif berkenaan, termasuk tenaga, unsur nadir bumi, logam tertentu, daging lembu, kopi, beberapa jenis buah-buahan dan sayur-sayuran, produk farmaseutikal, bahan kimia organik serta alat ganti pesawat.
USTR berkata, pihaknya akan menerima maklum balas awam berhubung cadangan tarif dan langkah-langkah lain yang berkaitan sehingga 6 Julai ini, manakala sesi pendengaran awam dijadualkan berlangsung pada 7 Julai.










