Warga AS didapati bersalah kendali ‘balai polis rahsia’ China di New York

Warga AS didapati bersalah kendali ‘balai polis rahsia’ China di New York

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Seorang warga Amerika Syarikat (AS) didapati bersalah kerana membantu mengendalikan apa yang disifatkan sebagai ‘balai polis rahsia’ pertama yang diketahui beroperasi di AS bagi pihak kerajaan China.

Juri mendapati Lu Jianwang, 64, membuka dan mengendalikan pusat tersebut di kawasan Chinatown, Manhattan pada awal 2022 untuk Kementerian Keselamatan Awam China.

Beliau didapati bersalah atas pertuduhan bertindak sebagai ejen haram kerajaan China berkaitan operasi pusat itu serta menghalang keadilan dengan memusnahkan bukti berkaitan.

Sabitan itu berlaku pada minggu sama seorang datuk bandar di California meletakkan jawatan selepas didakwa bertindak sebagai ejen haram China.

Keputusan itu dibuat selepas perbicaraan juri selama seminggu di mahkamah persekutuan New York.

Jianwang, yang juga dikenali sebagai Harry Lu dan menetap di New York, berdepan hukuman maksimum sehingga 30 tahun penjara, menurut pendakwa raya.

Rakan tertuduhnya, Chen Jinping, mengaku bersalah pada Disember 2024 atas konspirasi bertindak sebagai ejen Republik Rakyat China (PRC) berkaitan balai polis luar negara tersebut. Beliau kini menunggu hukuman dijatuhkan.

“Lu Jianwang menggunakan balai polis di New York City untuk menyasarkan penentang PRC demi agenda politik kerajaan China,” kata Penolong Pengarah FBI, James C Barnacle Jr.

Sekurang-kurangnya 100 pusat seperti itu dilaporkan wujud di 53 negara, dengan kumpulan hak asasi menuduh China menggunakan pusat berkenaan untuk mengugut dan memantau rakyat China di luar negara serta membantu Beijing mengenal pasti aktivis pro-demokrasi yang tinggal di AS.

China menafikan pusat itu adalah balai polis dan menegaskan ia hanyalah pusat perkhidmatan yang menyediakan bantuan pentadbiran kepada rakyat China di luar negara.

Perkhidmatan tersebut termasuk bantuan ketika pandemik dan pembaharuan lesen memandu.

Pusat di Chinatown itu, yang beroperasi di atas sebuah kedai ramen di New York City, ditutup pada musim luruh 2022 selepas FBI melancarkan siasatan.

Pendakwa raya berkata, Jianwang dan Jinping dituduh memadam mesej teks Ketika berkomunikasi dengan seorang pegawai Kementerian Keselamatan Awam selepas mengetahui mengenai siasatan tersebut.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN