WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata bahawa beliau telah bercakap dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Sabtu melalui panggilan telefon di tengah-tengah rundingan bagi mencapai perjanjian damai dengan Iran.
Perbualan itu dibuat secara berasingan daripada panggilan bersama kuasa-kuasa serantau di Asia Barat.
“Saya mengadakan panggilan dengan Perdana Menteri Bibi Netanyahu dari Israel yang juga berjalan dengan sangat baik,” kata Trump dalam hantaran di Truth Social miliknya.
Beliau berkata, negara- negara Asia Barat yang pemimpinnya menyertai panggilan perbincangan pada Sabtu mengenai perjanjian itu ialah Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Mesir, Jordan dan Bahrain.
“Aspek dan butiran akhir perjanjian (dengan Iran) kini sedang dibincangkan dan akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya.
Trump berkata, satu perjanjian dengan Iran telah sebahagian besarnya dirundingkan dengan cadangan itu termasuk pembukaan Selat Hormuz yang amat penting, walaupun perjanjian tersebut masih tertakluk untuk dimuktamadkan.
“Perjanjian sebahagian besarnya telah dirundingkan, tertakluk untuk dimuktamadkan antara Amerika, Republik Islam Iran dan beberapa negara lain,” tulis Trump di platform Truth Social dan menyenaraikan Turkiye dan Pakistan sebagai perantara.
“Selain banyak elemen lain dalam perjanjian itu, Selat Hormuz akan dibuka,” tambahnya.
Konflik itu tercetus pada 28 Februari selepas serangan AS-Israel yang mengorbankan pemimpin kanan Iran termasuk pemimpin tertingginya, Ayatollah Ali Khamenei. Iran bertindak balas dengan serangan peluru berpandu dan dron di seluruh rantau tersebut.
Sejak gencatan senjata yang rapuh berkuat kuasa pada 8 April, kedua-dua pihak telah mengadakan satu pusingan rundingan yang gagal mencapai sebarang perjanjian di Pakistan dan sejak itu mereka saling bertukar cadangan bagi menamatkan konflik tersebut. – AFP










