KOLKATA: Penyerang bersenjata menaiki motosikal di Bengal Barat, India,menyerang hendap dan membunuh seorang pegawai politik daripada parti pemerintah nasionalis Hindu, beberapa hari selepas parti itu memenangi pilihan raya negeri, kata polis pada Khamis.
Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi meraih kemenangan besar pada Isnin di negeri timur itu yang mempunyai lebih 100 juta penduduk, memenangi 207 daripada 294 kerusi, sekali gus mencatat kemenangan negeri pertama parti itu di Bengal Barat.
Chandranath Rath, 41, pembantu rapat kepada Ketua BJP Bengal Barat, Suvendu Adhikari, ditembak mati lewat malam Rabu berhampiran rumahnya di Kolkata.
Adhikari, ketua pembangkang di dewan undangan negeri yang dijangka menjadi ketua menteri negeri, menyifatkan insiden itu sebagai ‘pembunuhan kejam’.
Polis berkata, sekumpulan lelaki bermotosikal menghalang kenderaan Rath sebelum melepaskan tembakan bertubi-tubi kira-kira 12 das, mengenai dada mangsa beberapa kali.
“Insiden tembakan berlaku sekitar pukul 11 malam Rabu. Motosikal yang menghalang kereta Rath telah dirampas. Motosikal itu menggunakan nombor pendaftaran palsu dan kami sedang memburu suspek,” kata Ketua Polis Bengal Barat, Siddh Nath Gupta.
Seorang doktor di Hospital Apollo berkata, Rath dibawa ke hospital dalam keadaan sudah meninggal dunia akibat beberapa kesan tembakan di dada.
Pembunuhan itu menjadikan jumlah kematian sejak keputusan pilihan raya diumumkan pada Isnin meningkat kepada sekurang-kurangnya lima orang.
Bengal Barat sebelum ini diperintah oleh pengkritik tegar Modi, Mamata Banerjee sejak 2011.
Banerjee, yang juga ketua parti All India Trinamool Congress (TMC), turut kalah kerusi dalam pilihan raya tersebut dan menolak keputusan pilihan raya.
Penganalisis berkata, kemenangan BJP di negeri berbahasa Bengali itu merupakan antara pencapaian paling penting sejak Modi menjadi Perdana Menteri pada 2014, memperluaskan pengaruhnya di luar kawasan berbahasa Hindi di utara dan tengah India.
Pembunuhan itu meningkatkan ketegangan politik di negeri tersebut, dengan BJP dan TMC saling menuduh antara satu sama lain.
“Ini adalah pembunuhan yang dirancang,” kata presiden BJP Bengal Barat, Samik Bhattacharya.
Beliau turut menuduh TMC bertanggungjawab.
TMC bagaimanapun menafikan penglibatan dan menuduh BJP menyasarkan penyokong mereka.
“Kami mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan kejam Rath,” kata parti itu dalam kenyataan, sambil turut mengecam serangan terhadap ahli TMC yang didakwa dilakukan oleh penyokong BJP.
BJP berkata ia akan melantik ketuanya sebagai ketua menteri pada Sabtu.-AFP










