Pelaut terkandas jadi saksi ketegangan di Selat Hormuz

Pelaut terkandas jadi saksi ketegangan di Selat Hormuz

KAPAL tangki Bili yang berbendera Gambia sedang berlabuh di Selat Hormuz di luar bandar Abbas di selatan Iran.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUBAI: Seorang pelaut India yang terkandas di sebuah pelabuhan Iran selama hampir 10 minggu secara tidak sengaja menjadi saksi langsung kepada konflik yang tercetus di negara itu.

Anish tiba di laluan perairan Shatt al-Arab di atas sebuah kapal kargo beberapa hari sebelum Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump melancarkan ‘Operasi Epic Fury’ pada 28 Februari. Sejak itu, dia tidak dapat meninggalkan kapal tersebut.

“Kami melalui semua situasi di sini, perang, peluru berpandu. Fikiran kami sangat terganggu,” katanya kepada Al Jazeera dengan menggunakan nama samaran atas faktor keselamatan.

Menurutnya, sebahagian pelaut India lain berjaya pulang ke negara asal dengan menyeberangi sempadan darat Iran sepanjang 44 kilometer (km) ke Armenia, namun ramai masih terkandas di atas kapal kerana menunggu bayaran gaji.

“Ramai yang terkandas kerana ejen India mereka tidak menerima gaji. Ada juga yang terkandas kerana ejen Iran tidak memberikan kami wang dolar untuk sampai ke AS,” kata Anish, merujuk pihak perantara yang merekrut pelaut, menguruskan pembayaran gaji serta hal ehwal pekerja untuk syarikat perkapalan.

Anish berkata, dia hanya bergantung kepada makanan seperti kentang, bawang, tomato dan roti leper, namun turut mendengar bekalan makanan dan air di kapal-kapal lain semakin berkurangan.

Keadaan Anish turut dihadapi oleh kira-kira 20,000 pelaut yang terkandas sejak Iran menutup Selat Hormuz sebagai tindak balas terhadap serangan AS dan Israel ke atas negara itu.

Sebelum konflik tercetus, selat tersebut berfungsi sebagai satu daripada laluan perkapalan paling penting di dunia, membawa kira-kira satu perlima bekalan minyak dan gas global serta satu pertiga perdagangan baja melalui laut.

Walaupun terdapat gencatan senjata antara Washington dan Teheran pada 7 April, lalu lintas maritim dilaporkan masih terhenti susulan serangan berulang di sekitar laluan perairan tersebut.

BERBALAS TEMBAKAN

Kelmarin, AS dan Iran berbalas tembakan dalam ujian gencatan senjata paling serius setakat ini, namun Iran memaklumkan keadaan kembali stabil, manakala Washington menegaskan tidak mahu situasi terus memuncak.

Ketegangan baharu itu tercetus ketika Washington masih menunggu maklum balas Teheran terhadap cadangan AS yang bertujuan menghentikan pertempuran, tetapi membiarkan isu-isu utama seperti program nuklear Iran tidak dapat diselesaikan buat masa ini.

Tentera Iran berkata, AS menyasarkan dua kapal yang memasuki Selat Hormuz serta melancarkan serangan ke atas wilayah Iran, manakala Washington mendakwa ia bertindak balas terhadap serangan Teheran.

Dalam pada itu, Trump berkata kepada wartawan, gencatan senjata masih berkuat kuasa dan cuba meremehkan insiden berbalas serangan tersebut.

Sepanjang perang, Iran menawarkan laluan selamat kepada kapal yang melalui perairan wilayahnya dengan bayaran tertentu, namun pada masa sama terus melancarkan serangan secara berselang-seli terhadap kapal komersial.

Dalam tempoh sama, AS pula dilaporkan menguatkuasakan sekatan terhadap pelabuhan Iran sejak 13 April bagi mengganggu eksport minyak Teheran serta akses kepada mata wang asing.

Syarikat perisikan maritim berpangkalan di United Kingdom (UK), Lloyd’s List, pada Isnin berkata, sekurang-kurangnya empat kapal komersial ditembak sejak hari sebelumnya, manakala sebuah kapal kontena milik syarikat Perancis, CMA CGM pada Rabu melaporkan turut diserang ketika melalui perairan tersebut.

Pertubuhan Maritim Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (IMO) menganggarkan sekurang-kurangnya 10 pelaut terbunuh sejak perang bermula.

Kesatuan marin saudagar Iran pula melaporkan sekurang-kurangnya 44 pelaut Iran, termasuk pekerja pelabuhan dan nelayan terbunuh setakat 1 April.

Trump mendakwa, pegawai AS mengadakan perbincangan yang sangat baik dengan Teheran dan satu perjanjian damai berpotensi dimeterai, namun masih tidak jelas sejauh mana kedua-dua pihak hampir mencapai persetujuan.

KRISIS KEMANUSIAAN

IMO menyifatkan situasi dihadapi pelaut kini sebagai krisis kemanusiaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, namun keadaan pekerja berbeza-beza bergantung kepada pemilik kapal dan sama ada mereka berada di bawah kesatuan sekerja.

Walaupun pelaut di atas kapal yang dikendalikan oleh syarikat perkapalan antarabangsa utama menerima bayaran risiko serta bantuan lain, sebahagian mereka yang bekerja dengan operasi berskala kecil dilaporkan menghadapi kesukaran mendapatkan gaji atau memenuhi keperluan asas.

Setiausaha Agung Kesatuan Pelaut Dagang Iran yang bernaung di bawah ITF, Saman Rezaei berkata, ramai pelaut asing di Iran bekerja dengan agensi tidak rasmi yang tidak memenuhi piawaian antarabangsa.

Penggiliran anak kapal kini menjadi antara tekanan terbesar yang dihadapi kapal-kapal di kawasan konflik tersebut.

Di bawah Konvensyen Buruh Maritim 2006m satu perjanjian antarabangsa yang diratifikasi oleh 111 negara termasuk China, India, Jepun, Australia dan UK, tempoh maksimum seseorang pelaut diwajibkan berkhidmat di atas kapal ialah 12 bulan.

Walaupun pelaut mempunyai hak dari segi undang-undang untuk meninggalkan kapal selepas tempoh itu, keadaan tidak stabil menyebabkan proses penghantaran pulang menjadi rumit dan mahal.

Dalam beberapa kes, khususnya di atas kapal kargo besar yang masih berada di laut, kru yang ingin meninggalkan kapal perlu terlebih dahulu digantikan dengan pekerja baharu atas faktor keselamatan.

“Dengan kapal tidak dapat bergerak dan penerbangan turut terganggu, ramai tidak mempunyai pilihan selain terus berada di atas kapal walaupun tempoh pertukaran kru yang dirancang tamat,” kata bekas pegawai Tentera Laut AS dan pengarah eksekutif Majlis Yokosuka mengenai Kajian Asia-Pasifik di Jepun, John Bradford kepada Al Jazeera.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN