Kumpulan pertama aktivis flotila diusir Israel tiba di Istanbul - Utusan Malaysia

Kumpulan pertama aktivis flotila diusir Israel tiba di Istanbul

AKTIVIS flotilla berhimpun di terminal Lapangan Terbang Istanbul. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL: Kumpulan pertama daripada ratusan aktivis flotila Gaza mula tiba di Lapangan Terbang Istanbul pada Khamis selepas ditahan dan kemudian diusir dari Israel, menurut seorang wartawan AFP.

Menurut sumber Kementerian Luar Turkiye, sebanyak 422 aktivis, termasuk 85 rakyat negara itu diterbangkan dari selatan Israel dengan tiga pesawat yang disewa khas oleh Ankara.

Kumpulan awal ketibaan dilihat berada di dalam terminal di lapangan terbang itu ketika orang ramai yang membawa bendera Palestin berkumpul untuk menyambut mereka, kata wartawan tersebut.

Ketika mereka mula keluar dari terminal, dengan kumpulan aktivis Turkiye di bahagian hadapan, mereka disambut dengan laungan ‘Allahu Akbar!’ yang bermaksud “Allah Maha Besar”  oleh orang ramai yang menunggu.

“Rakyat Palestin tidak bersendirian!” jerit salah seorang aktivis ketika dia keluar dari terminal.

“Kami telah diseksa, dipukul, ditahan di perairan antarabangsa, tetapi kami tidak akan berputus asa. Kami akan kembali. Palestin akan bebas dari sungai hingga ke laut,” katanya disambut sorakan orang ramai.

Para aktivis itu merupakan sebahagian daripada flotila sekitar 50 kapal yang berlepas dari selatan Turkiye pada 14 Mei dalam usaha memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza. Ia turut disertai beberapa kapal lain di laut.

Pengusiran mereka berlaku sehari selepas rakaman penghinaan terhadap mereka semasa dalam tahanan, yang dikongsi dalam talian oleh menteri keselamatan Israel sehingga mencetuskan kemarahan antarabangsa.

Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan sebelum ini berkata, Ankara sedang mengatur supaya semua aktivis diterbangkan ke Turkiye dengan penerbangan sewa khas.

Sebelum ini, Israel mengesahkan bahawa semua aktivis flotila itu telah diusir dari Lapangan Terbang Ramon berhampiran bandar peranginan selatan Eilat. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN