Kapal Russia karam di Sepanyol didakwa bawa reaktor nuklear

Kapal Russia karam di Sepanyol didakwa bawa reaktor nuklear

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MURCIA: Sebuah kapal kargo Russia yang mengalami siri letupan misteri sebelum karam di luar pantai tenggara Sepanyol 17 bulan lalu, dipercayai membawa reaktor kapal selam nuklear yang menuju ke Korea Utara.

Kapal Ursa Major sepanjang 142 meter itu dimiliki oleh syarikat Oboronlogistics yang mempunyai kaitan dengan kerajaan Russia.

Lapor Reuters, kapal tersebut dilaporkan sedang dalam pelayaran dari St Petersburg ke Vladivostok apabila ia karam di kedudukan 62 batu nautika dari pantai Murcia kira-kira jam 12 tengah malam pada 23 Disember 2024.

Perkhidmatan menyelamat maritim Sepanyol, Sasemar menghantar bantuan selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.53 tengah hari (waktu tempatan).

Kru kapal yang meninggalkan kenderaan tersebut memberitahu anggota penyelamat, terdapat tiga letupan berlaku di bilik enjin.

Usaha bantuan Sepanyol terhenti pada pukul 8.07 malam (waktu tempatan) apabila sebuah kapal perang Russia tiba di lokasi dan mengarahkan bot-bot Sasemar supaya beredar sejauh dua batu nautika.

Kapal perang Russia dilaporkan melancarkan suar ke atas Ursa Major yang didakwa bertujuan untuk memadam saluran inframerah satelit perisikan yang sedang memantau insiden berkenaan.

Siasatan mendapati terdapat empat tanda seismik yang menyerupai letupan periuk api bawah laut dikesan sejurus selepas suar tersebut dilancarkan.

Kapal tersebut akhirnya tenggelam sepenuhnya pada pukul 11.20 malam (waktu tempatan) dan dua kru dilaporkan maut manakala 14 lagi berjaya diselamatkan.

Walaupun secara rasminya kapal tersebut didakwa membawa barangan tidak berbahaya seperti 129 kontena perkapalan dan kren, laluan dan cara ia karam telah mencetuskan syak wasangka pihak berkuasa Sepanyol.

Hasil soal siasat mendapati kapten kapal akhirnya mengaku kargo yang dibawa mengandungi komponen reaktor nuklear yang serupa dengan yang digunakan oleh kapal selam, namun menegaskan tiada bahan api nuklear sedang diangkut.

Penyiasat turut mengesan dua kontena biru gergasi dengan setiap satu seberat kira-kira 65 tan pada bahagian kapal melalui foto satelit.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN