Israel bincang sambung perang di Gaza - Utusan Malaysia

Israel bincang sambung perang di Gaza

BEBERAPA orang berjalan dekat runtuhan bangunan di Gaza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Kabinet keselamatan Israel dijangka mengadakan mesyuarat pada Ahad bagi membincangkan kemungkinan untuk menyambung semula serangan ketenteraan di Semenanjung Gaza, lapor penyiar awam KAN.

Memetik sumber rasmi, langkah itu dipertimbangkan selepas pegawai Israel merumuskan bahawa kumpulan Hamas didakwa gagal mematuhi syarat-syarat pelucutan senjata yang telah dipersetujui sebelum ini.

Perkembangan terbaharu itu berlaku ketika usaha melalui pengantara masih berjalan, di mana Hamas dilaporkan telah menyerahkan maklum balas terhadap cadangan gencatan senjata bagi fasa pertama yang dicapai pada Oktober 2025.

Menurut sumber politik, Hamas menuntut supaya Israel melaksanakan komitmen gencatan senjata secara penuh dan segera dalam tempoh masa yang dipersetujui bagi menamatkan peperangan.

Kumpulan itu turut menyatakan kesediaan awal untuk membincangkan isu persenjataan, namun menegaskan ia perlu dikaitkan dengan jaminan hak politik rakyat Palestin dalam rangka kerja aturan keselamatan yang lebih luas.

Antara tuntutan utama Hamas termasuk pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari Gaza, pelaksanaan usaha pembangunan semula, penempatan pasukan antarabangsa dan penyerahan pentadbiran Gaza kepada sebuah jawatankuasa teknokrat.

Sebelum ini, Israel telah menetapkan tempoh 60 hari bermula akhir Februari lalu untuk Hamas menyerahkan senjata, tetapi kumpulan itu bertegas supaya Israel terlebih dahulu memenuhi kewajipan di bawah fasa pertama perjanjian.

Kemungkinan berlaku semula pertempuran ini menyusul selepas penganalisis tentera, Amos Harel melalui laporan dalam akhbar Haaretz mendedahkan rancangan kerajaan untuk melancarkan serangan baharu.

Harel mendakwa Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu berkemungkinan mahu mengekalkan ketegangan di pelbagai medan serangan sebagai strategi politik menjelang pilihan raya umum yang dijadualkan pada Oktober depan.

Walaupun gencatan senjata sedang berlangsung, Israel dilaporkan masih belum melaksanakan komitmen utama fasa pertama, termasuk pembukaan pintu sempadan dan kebenaran kemasukan bantuan kemanusiaan, sehingga memburukkan lagi keadaan kira-kira 1.9 juta penduduk yang kehilangan tempat tinggal di Gaza. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×