BEIRUT: Hizbollah menggesa pihak berkuasa Lubnan supaya tidak meneruskan ‘pilihan menyimpang’ dengan Israel dan meninggalkan ‘ilusi’ mengenai kemungkinan mencapai perjanjian damai dengan negara itu.
Kenyataan kumpulan itu dibuat sempena ulang tahun Perjanjian 17 Mei, iaitu perjanjian keselamatan 1983 antara Lubnan dan Israel. Perjanjian itu menyeru penamatan keadaan perang antara kedua-dua negara, pembentukan zon keselamatan di selatan Lubnan dan penetapan jadual pengunduran tentera Israel dari kawasan yang didudukinya ketika itu.
Perjanjian itu dibatalkan kurang setahun kemudian oleh kerajaan Lubnan susulan tekanan politik daripada bekas Presiden Syria, Hafez al-Assad dan sekutunya ketika itu termasuk pemimpin Pergerakan Amal, Nabih Berri serta pemimpin Druze, Walid Jumblatt.
Hizbollah berkata, ulang tahun ke-43 ‘perjanjian penghinaan termasuk memalukan’ itu berlaku ketika terdapat usaha untuk menghidupkan semula sesuatu yang lebih berbahaya selain menyimpang daripada Perjanjian 17 Mei menerusi perbincangan mengenai perjanjian damai penuh dan menyeluruh antara pihak berkuasa Lubnan serta entiti Israel.
Kumpulan itu mendakwa pihak berkuasa Lubnan sudah tersasar jauh dan kini melayan Israel seolah-olah ia sebuah entiti aman serta diiktiraf.
“Kenyataan pegawai Israel mengenai projek penempatan di wilayah Lubnan membuktikan cita-cita lama Israel terhadap tanah, air dan sumber semula jadi kami.
“Penerimaan Lubnan terhadap rundingan secara langsung hanya akan mengukuhkan dan meningkatkan keuntungan Israel dengan mengorbankan Lubnan serta rakyatnya.
“Kami menggesa pihak berkuasa Lubnan supaya menghentikan siri konsesi percuma dan senario melepaskan hak serta maruah negara selain meninggalkan ilusi kemungkinan mencapai perjanjian damai,” tegas kumpulan itu.
Pada Jumaat, Amerika Syarikat (AS) mengumumkan lanjutan 45 hari perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Lubnan selepas apa yang disifatkan sebagai rundingan ‘amat produktif’ diadakan di Washington selama dua hari.
Jurucakap Jabatan Negara AS, Tommy Pigott berkata, jabatan itu akan menyambung semula rundingan politik pada 2 hingga 3 Jun. – AGENSI










