Gencatan senjata Iran bergantung kepada talian hayat - Trump - Utusan Malaysia

Gencatan senjata Iran bergantung kepada talian hayat – Trump

TRUMP mendakwa gencatan senjata Iran diambang kehancuran. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Donald Trump pada Isnin memberi amaran bahawa gencatan senjata dalam perang di Asia Barat kini bergantung kepada talian hayat selepas Iran menolak tawaran balas terbaru.

Reaksi marah presiden itu terhadap pendirian Iran yang dikemukakan sebagai respons kepada cadangan Amerika Syarikat (AS) menyebabkan harga minyak melonjak dan memusnahkan harapan bahawa satu perjanjian dapat dirunding dengan cepat untuk membuka semula Selat Hormuz kepada perkapalan komersial.

Selepas menyifatkan jawapan Iran sebagai langsung tidak boleh diterima, Trump menegaskan Amerika akan mencapai kemenangan sepenuhnya ke atas Iran dan menambah bahawa gencatan senjata yang sebahagian besarnya menghentikan pertempuran di Teluk selama lebih sebulan kini berada di ambang kehancuran.

“Gencatan senjata itu sedang bergantung sepenuhnya kepada alat sokongan hayat, ibarat doktor masuk dan berkata, tuan, insan tersayang anda hanya mempunyai kira-kira satu peratus peluang untuk hidup,’” katanya kepada wartawan pada Isnin.

Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf yang pernah menjadi ketua perunding dalam rundingan terdahulu dengan Washington berkata tidak lama kemudian bahawa negaranya bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Angkatan bersenjata kami bersedia untuk bertindak balas dan memberi pengajaran terhadap sebarang pencerobohan,” tulisnya di X. 

“Strategi buruk dan keputusan buruk sentiasa membawa kepada hasil yang buruk, dunia kini sudah memahami perkara itu,” tambahnya lagi.

Perkembangan itu menggusarkan pasaran tenaga global yang sememangnya sudah berada dalam keadaan tidak menentu akibat perang dan sekatan bertindih yang dikenakan oleh Iran serta AS di Selat Hormuz, laluan penting bagi penghantaran minyak termasuk gas.

Trump tidak menjelaskan apa yang menyinggung perasaannya dalam respons Iran itu. Namun, Kementerian Luar Iran berkata, Teheran menuntut penamatan sekatan laut Amerika terhadap pelabuhannya dan penamatan perang di seluruh rantau itu yang membayangkan penghentian serangan Israel terhadap Hizbollah di Lubnan.

Yang paling penting, jurucakap kementerian itu, Esmaeil Baqaei berkata, Iran menuntut pembebasan aset milik rakyat Iran yang selama bertahun-tahun terperangkap secara tidak adil di bank-bank asing.

Ini bukan sahaja bermaksud kembali kepada keadaan sebelum AS dan Israel melancarkan perang pada 28 Februari, malah satu kemenangan bagi kempen jangka panjang republik Islam itu menentang pengasingan ekonominya.

“Kami tidak menuntut sebarang konsesi. Satu-satunya perkara yang kami tuntut ialah hak sah Iran,” kata Baqaei.

Penamatan sekatan antarabangsa akan mengurangkan pengaruh Washington terhadap Teheran ketika ia cuba mendapatkan penamatan berkekalan terhadap program pengayaan nuklear Iran.

AS, Israel dan sekutu mereka sejak sekian lama menuduh Iran berusaha membangunkan senjata atom, tuduhan yang berulang kali dinafikan Teheran. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×