MODENA: Empat orang awam warga Itali bertindak berani dengan menyerbu dan memberkas seorang pemandu, sebelum merebahkannya ke tanah sejurus selepas kenderaan yang dipandunya merempuh sekumpulan pejalan kaki di Modena pada Sabtu.
“Lelaki tidak siuman itu atau penjenayah yang melakukan tindakan ini, keluar dari kereta sambil mengacu-acukan sebilah pisau. Empat warga kota telah menangkap dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa.
“Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada mereka,” kata Datuk Bandar, Massimo Mezzetti kepada agensi berita milik kerajaan, RAI.
Dalam kenyataan awalnya, Mezzetti memaklumkan bahawa kereta berkenaan telah merempuh orang ramai di Via Emilia, sebuah jalan yang sibuk di pusat bandar utara Itali tersebut
Ia menyebabkan beberapa pejalan kaki mengalami kecederaan parah, termasuk seorang wanita yang terpaksa dipotong kedua-dua belah kakinya selepas dirempuh secara berhadapan oleh kenderaan itu.
Dalam satu sidang media, Pegawai Daerah, Fabrizio Triolo memberitahu wartawan bahawa seramai tujuh orang disahkan cedera akibat rempuhan tersebut.
Seorang lagi individu memaklumkan kepada Reuters bahawa dia mengalami kecederaan selepas pemandu terbabit didakwa menyerangnya menggunakan pisau.
Pihak berkuasa mendedahkan bahawa dua pelancong, masing-masing dari Jerman dan Poland merupakan antara mangsa yang cedera dalam insiden rempuhan itu.
Pengarah Unit Anestesia dan Rawatan Rapi di Hospital Awam Baggiovara, Dr. Lesley De Pietri, mengesahkan bahawa dua daripada mangsa kini berada dalam keadaan yang sangat kritikal dan masih ditempatkan di wad hospital.
Sementara itu, Triolo menyatakan bahawa lelaki yang disyaki dalang serangan itu dilahirkan pada tahun 1995, memiliki ijazah dalam bidang pentadbiran perniagaan dan kini tidak bekerja.
Pegawai berkenaan menambah bahawa suspek sebelum ini pernah dirujuk ke pusat kesihatan mental berikutan gangguan personaliti skizoid pada tahun 2022. Bagaimanapun, pihak berkuasa terputus jejak dengannya selepas tempoh pemerhatian tamat.
“Semasa tangkapan dibuat, dia tidak berada di bawah pengaruh bahan psikotropik Jadi, dia kelihatan berada dalam keadaan sedar. Siasatan kes ini jelas sedang berkembang dan kami belum dapat memberikan maklumat lanjut buat masa ini,” kata Triolo.
Mezzetti menzahirkan penghargaan yang tidak terhingga kepada empat individu yang berjaya menahan pemandu berkenaan.
“Lelaki itu turut bersenjata pisau namun mereka telah menunjukkan keberanian dan semangat kemasyarakatan yang tinggi. Ucapan terima kasih yang paling mendalam saya tujukan kepada mereka dalam detik yang tragis ini,” kata Mezzetti.
Ketika memuji tindakan berani tersebut, Mezzetti turut mendedahkan bahawa semasa proses merebahkan suspek ke tanah, salah seorang daripada empat orang awam itu mengalami kecederaan ringan akibat terkena pisau itu. – CNN










