AS tuduh bekas pemimpin Cuba bunuh warga AS di mahkamah - Utusan Malaysia

AS tuduh bekas pemimpin Cuba bunuh warga AS di mahkamah

Gambar fail Raul Castro. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MIAMI: Amerika Syarikat (AS) telah mengemukakan pertuduhan rasmi terhadap bekas pemimpin Cuba, Raul Castro atas dakwaan konspirasi membunuh warga AS dan beberapa jenayah lain berhubung insiden menembak jatuh dua buah pesawat di ruang udara antara negara itu dan Florida pada 1996.

Kes yang didedahkan pada Rabu itu menuduh Castro bersama lima individu lain mendalangi serangan terhadap pesawat milik kumpulan Cuba-AS, Brothers to the Rescue, yang mengorbankan empat nyawa termasuk tiga warga AS.

Castro, yang kini berusia 94 tahun merupakan ketua angkatan tentera Cuba ketika insiden itu berlaku dan pernah berdepan kecaman hebat daripada masyarakat antarabangsa.

Tindakan terbaharu AS ini dilihat sebagai usaha meningkatkan tekanan terhadap pemerintahan komunis Cuba. 

Ketika mengumumkan perkara itu di Menara Kebebasan di Miami, Pemangku Peguam Negara, Todd Blanche menyatakan bahawa AS turut mendakwa Castro atas pertuduhan memusnahkan pesawat dan empat pertuduhan membunuh berhubung kematian Armando Alejandre Jr, Carlos Alberto Costa, Mario Manuel de la Pena dan Pablo Morales.

Semua pertuduhan itu akan dibicarakan di mahkamah AS dengan beberapa sabitan kesalahan membawa hukuman penjara seumur hidup, manakala pertuduhan membunuh boleh membawa kepada hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Langkah terbaharu Jabatan Kehakiman AS ini menyasarkan figura utama kepimpinan komunis Cuba ketika negara pulau itu sedang berdepan tekanan hebat daripada AS untuk melakukan reformasi politik dan ekonomi yang ketara dalam sistem pemerintahan satu parti mereka.

“Saya berpandangan strateginya adalah untuk meningkatkan tekanan secara berperingkat sehingga kerajaan Cuba akur dan menyerah kalah di meja rundingan,” kata William LeoGrand, pakar politik Amerika Latin dari Universiti Amerika, William LeoGrand,

Setakat ini, AS telah mengenakan pelbagai sekatan ekonomi terhadap Cuba termasuk sekatan bekalan minyak yang mengakibatkan krisis gangguan bekalan elektrik dan kekurangan bekalan makanan yang serius di negara berkenaan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN