WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) akan menangguhkan operasi mengiring kapal komersial melalui Selat Hormuz hanya sehari selepas ia dimulakan bagi memberi laluan kepada usaha mencapai perjanjian damai dengan Iran.
Presiden AS, Donald Trump mendakwa walaupun terdapat peningkatan aktiviti ketenteraan baru-baru ini, kemajuan besar telah dicapai ke arah perjanjian damai dengan Teheran.
Beliau menjelaskan, operasi mengiring kapal tersebut akan ditangguhkan buat seketika bagi melihat sama ada perjanjian tersebut dapat dimuktamadkan dan ditandatangani.
Beliau turut mengulangi kenyataan pegawai tertinggi tentera Washington bahawa pasukan AS sentiasa bersedia untuk menyambung semula operasi tempur jika diarahkan, manakala sekatan ke atas pelabuhan Iran akan kekal berkuat kuasa sepenuhnya.
Pengumuman ini menyusul beberapa jam selepas Setiausaha Negara, Marco Rubio menyatakan AS telah menyelesaikan operasi ofensifnya terhadap Iran namun menegaskan AS tetap mempunyai hak untuk melancarkan tindak balas yang terhadap sebarang serangan baharu di laluan perkapalan sempit itu.
“Operasi itu sudah tamat, Epic Fury seperti yang dimaklumkan oleh presiden kepada Kongres. Kami sudah selesai dengan fasa itu.
Terdahulu, Rumah Putih memaklumkan kepada penggubal undang-undang, perang telah ditamatkan berikutan gencatan senjata, sekali gus mengelakkan keperluan undang-undang untuk mendapatkan kelulusan Kongres bagi konflik yang melebihi 60 hari.
Rubio turut berkata, AS telah mencapai objektif perang tersebut.
“Ini bukan operasi ofensif. Ini operasi defensif dan maksudnya sangat mudah, tiada tembakan kecuali kami ditembak dahulu.
“Mereka kini berdepan kemusnahan ekonomi yang benar-benar besar dan dahsyat,” katanya, sambil menambah Trump masih mengutamakan penyelesaian melalui rundingan dengan Iran.
Rubio, bekas senator AS juga berkata, beliau tidak bersetuju dengan Akta Kuasa Perang 1973 yang memerlukan Presiden memaklumkan Kongres dalam masa 48 jam selepas menghantar tentera dan mendapatkan kelulusan selepas 60 hari.
“Kami tidak mengiktiraf undang-undang itu sebagai berperlembagaan. Namun begitu, kami mematuhi sebahagiannya demi mengekalkan hubungan baik dengan Kongres,” katanya.
Sementara itu, ketegangan di lapangan terus memuncak apabila operasi kawalan AS selama 36 jam lalu yang digelar Project Freedom oleh Trump telah mencetuskan serangan daripada pihak Iran.
Pasukan tentera laut Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) memberi amaran akan memberikan tindak balas tegas sekiranya kapal-kapal menyimpang daripada laluan yang diluluskan melalui selat tersebut.
Ketua perunding Teheran turut memberi amaran pihak mereka belum lagi bermula susulan siri serangan di laluan perdagangan kritikal itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) mendakwa telah memintas bedilan peluru berpandu dan dron dari Iran untuk hari kedua berturut-turut, namun dakwaan itu dinafikan sekeras-kerasnya oleh Teheran.
Krisis ini menandakan peningkatan ketegangan paling sengit sejak gencatan senjata selama sebulan bermula selepas AS dilaporkan menyerang enam bot Iran yang dituduh mengancam perkapalan komersial pada Isnin lalu.
Media Iran melaporkan, Menteri Luarnya, Abbas Araghchi tiba di Beijing hari ini, di mana beliau dijadualkan bertemu rakan sejawatnya dari China, Wang Yi. -AFP










