Washington minta Ketua Turus Tentera AS letak jawatan - Utusan Malaysia

Washington minta Ketua Turus Tentera AS letak jawatan

GEORGE (tengah) diminta meletakkan jawatan Ketua Turus Tentera AS. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Pete Hegsethtelah meminta Ketua Turus Tentera Darat AS, Jeneral Randy George meletak jawatan, menurut seorang pegawai pada Khamis.

Pegawai itu, yang bercakap dengan syarat identitinya dirahsiakan, mengesahkan laporan daripada laman berita AS, CBS, yang menyatakan bahawa George telah diminta untuk bersara serta-merta.

Sebab permintaan itu tidak diketahui dengan segera. Namun, CBS memetik satu sumber yang berkata bahawa Hegseth mahukan seseorang yang akan melaksanakan visi beliau dan Presiden AS, Donald Trump untuk tentera darat.

Jurucakap Jabatan Pertahanan atau Pentagon, Sean Parnell kemudian memuat naik satu kenyataan di platform X yang menyatakan bahawa George akan bersara daripada jawatannya berkuat kuasa serta-merta tanpa menjelaskan sebabnya.

George merupakan pegawai kanan tentera terbaru yang disingkirkan sepanjang penggal kedua Trump. Penyingkirannya sebagai pegawai tertinggi tentera darat berlaku ketika AS sedang terlibat dalam perang Iran yang menurut presiden boleh berlanjutan selama beberapa minggu lagi.

Sepanjang kerjaya tenteranya yang hampir empat dekad, George telah dikerahkan ke Iraq dan Afghanistan beberapa kali. Beliau pernah berkhidmat dalam jawatan termasuk Timbalan Ketua Turus Tentera Darat dan pembantu tentera kanan kepada Ketua Pentagon, Lloyd Austin semasa Joe Biden menjadi presiden.

Trump telah menyelia satu tindakan pembersihan terhadap pegawai-pegawai tertinggi tentera, termasuk Pengerusi Ketua Turus Bersama, Jeneral Charles ‘CQ’ Brown, yang dipecat tanpa penjelasan pada Februari 2025.

Hegseth menyatakan bahawa presiden hanya memilih pemimpin yang beliau mahukan. Bagaimanapun, wakil-wakil rakyat parti Demokrat telah menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan tentera AS yang secara tradisinya berkecuali telah dipolitikkan. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN