KYIV: Imej satelit dan video yang disahkan menunjukkan Ukraine beberapa kali menyerang infrastruktur eksport minyak utama Russia berhampiran Laut Baltik sepanjang minggu lepas, menyebabkan beberapa kemudahan terbakar selama beberapa hari.
Ia disahkan oleh BBC Verify. Sekurang-kurangnya tiga tapak minyak di wilayah Leningrad, berhampiran bandar St Petersburg, kira-kira 800 kilometer (km) di utara sempadan Ukraine, diserang sejak 23 Mac lalu.
Serangan itu termasuk beberapa serangan berasingan di pelabuhan utama Laut Baltik, Ust-Luga dan Primorsk serta serangan ke atas kilang penapisan minyak Kirishi yang terletak di kawasan pedalaman berhampiran.
Menurut analisis oleh Pusat Penyelidikan Tenaga dan Udara Bersih (Crea) yang berpusat di Finland, 22 peratus daripada jumlah eksport minyak Russia pada 2025 berasal dari Primorsk manakala 20 peratus dari Ust-Luga.
Data terkini menunjukkan tiada kapal muatan minyak di ketiga-tiga pelabuhan Laut Baltik Russia pada 26 dan 27 Mac, menandakan tempoh dua hari berturut-turut tanpa aktiviti sedemikian sejak Moscow melancarkan pencerobohan berskala penuh ke atas Ukraine pada 2022.
Imej satelit menunjukkan kepulan besar asap menyelubungi kemudahan minyak yang terbakar di Primorsk pada 24 Mac, kebakaran di Ust-Luga dan kerosakan meluas di Kirishi pada 27 Mac.
Sekurang-kurangnya lapan tangki penyimpanan di Primorsk dan Ust-Luga dilaporkan musnah atau rosak, manakala sekitar dua tangki di Kirishi mengalami kerosakan. – AGENSI










